LATEST
National

Tindakan pembetulan sudah diambil, tadbir urus projek i-Breath diperkukuh – UTM

Tindakan pembetulan sudah diambil, tadbir urus projek i-Breath diperkukuh – UTM

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengesahkan tindakan pembetulan sudah diambil menerusi pengukuhan tadbir urus, kawal selia serta pemantauan dana penyelidikan berhubung pelaksanaan projek pembangunan alat saringan COVID-19, i-Breath.

Baca juga: Hujan lebat diramal landa 10 negeri, KL, Putrajaya, Labuan hingga 9 malam

UTM berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen pada Selalu lalu, berhubung projek pembangunan COVID-19 Screening and Monitoring Tool i-Breath yang dilaksanakan bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023.

Katanya, projek berkenaan sudah diaudit oleh Jabatan Audit Negara, termasuk pemeriksaan fizikal pada 10 September 2025 dengan penemuan dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.

“UTM sudah melaksanakan tindakan pembetulan dengan memperkukuh tadbir urus, kawal selia dan pemantauan dana penyelidikan.

“Tindakan ini turut dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam persidangan Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu,” katanya menerusi kenyataan rasmi, hari ini.

UTM berkata demikian sebagai susulan kepada pendedahan Laporan PAC di Parlimen baru-baru ini yang melaporkan isu kehilangan 19 unit prototaip perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di universiti berkenaan yang sehingga kini tidak dapat dikesan.

Selain isu kehilangan peranti berkenaan, laporan PAC turut mendedahkan hak cipta Harta Intelek (IP) bagi peranti i-Breath didaftarkan atas nama individu iaitu bekas ketua penyelidik projek berkenaan, dan bukannya atas nama kerajaan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan mendedahkan lebih RM225 juta baki dana penyelidikan KPT terbiar selama hampir dua dekad.

Beliau dilaporkan berkata, penyata berhubung Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) yang dibentangkan itu turut mendedahkan sebanyak RM183.11 juta baki geran penyelidikan di 11 agensi pelaksana juga gagal dipulangkan kepada kerajaan.

PAC turut melaporkan, kepincangan tadbir urus, kelemahan perancangan strategik dan defisit kepimpinan teknikal menyebabkan ekosistem RDCI negara berada dalam keadaan membimbangkan dan berisiko merencatkan daya saing teknologi perindustrian Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Penyata RDCI ialah susulan penemuan kritikal dalam LKAN 1/2026 yang membabitkan tatakelola enam kementerian, iaitu KPT; Kementerian Ekonomi; Kementerian Kewangan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

PAC dilaporkan mengesyorkan kerajaan mewujudkan prosedur operasi standard tegas bagi memastikan semua institusi pengajian tinggi dan agensi memulangkan baki geran projek dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas penyelidikan tamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news