LATEST
National

Haaland gembira di Man City – Maresca

Haaland gembira di Man City – Maresca

LONDON: Enzo Maresca menegaskan Erling Haaland ‘gembira’ di Manchester City selepas penyerang itu meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi hambar pasukannya sejak kebelakangan ini.

Baca juga: Pelan Induk Industri Sukan Negara perkukuh usaha bangunkan ekonomi sukan – Ahmad Faizal

Haaland memberikan penilaian terus terang mengenai kemerosotan City selepas mereka seri 2-2 dengan Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Selepas memenangi 10 daripada 11 perlawanan pertama dalam semua kejohanan musim ini, skuad kendalian Maresca hanya mencatat dua kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir.

Menjelang kunjungan penting ke gelanggang pendahulu Liga Perdana, Arsenal, pada awal pagi Isnin, kritikan Haaland menambah kebimbangan bahawa musim City semakin berisiko tergelincir daripada landasan.

“Kami perlu melakukan yang lebih baik dan mencari cara untuk mengawal permainan dengan lebih baik serta mempamerkan prestasi yang lebih bagus.

“Saya tidak tahu apa yang kurang, tetapi dalam beberapa perlawanan terakhir, anda dapat merasakan ada sesuatu yang tidak berjalan lancar sepenuhnya,” kata Haaland.

Haaland hanya menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan terakhir bersama City dan gagal mencatat jaringan liga dalam tiga aksi terakhirnya.

Bahasa tubuh bintang Norway itu jelas menunjukkan keresahan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa dia semakin tidak berpuas hati dengan kehidupannya di Stadium Etihad.

City juga sedang menunggu keputusan rayuan terhadap keputusan bersalah berhubung pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana, dengan hukuman berpotensi termasuk pemotongan mata dalam jumlah besar.

Walaupun City berdepan masalah, Maresca tetap bertegas Haaland masih komited terhadap pasukan, meskipun timbul spekulasi bahawa penyerang itu mungkin mencari kelab baharu pada penghujung musim.

“Erling ialah penyerang nombor sembilan. Mereka hidup untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Jika tidak menjaringkan gol, mereka akan kecewa. Saya rasa dia menunjukkan reaksi yang sama ketika kami memenangi perlawanan.

“Sudah tentu dia tidak gembira kerana kami tidak memenangi perlawanan. Tetapi bukan Erling seorang. Semua orang mempunyai pendirian yang sama.

“Dia bermain dengan baik. Dia seperti biasa sejak hari pertama. Dua atau tiga minggu lalu, dia menari di atas padang dan ketika sesi latihan.

“Dia gembira. Memang normal keputusan perlawanan sedikit sebanyak mempengaruhi naluri hati, tetapi saya tidak nampak sebarang masalah dengan Erling. Dia seorang pemenang.” kata Maresca kepada pemberita.

Maresca memerlukan Haaland kembali ke prestasi terbaik ketika menentang Arsenal jika City, yang berada di tangga ketiga, mahu meraih kemenangan penting ke atas juara itu.City kini ketinggalan enam mata di belakang Arsenal.

Kekalahan di utara London akan menjadi tamparan besar kepada peluang mereka memburu gelaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news