am@hmetro.com.my
Serdang: Hasrat membawa kedua ibu bapa naik ke pentas bagi menerima anugerah bakal tercapai bagi penerima Anugerah Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 Isnin ini.
Graduan Bacelor Sains Fizik, Fakulti Sains, Ahmad Danish Iskandar Mohd Fadzil, 23, menerima anugerah itu sebagai pengiktirafan kerana menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan, kokurikulum, keusahawanan dan penyelidikan.
Anak sulung daripada tujuh beradik yang berasal dari Umbai, Melaka itu berkata, sejak dari sekolah rendah dia memang sudah menyimpan hasrat membawa ibu bapanya bersama naik ke pentas untuk menerima anugerah.
Katanya, dua tahun lalu dia ada menerima Anugerah Putra Ikon UPM bagaimanapun ibu bapanya tidak dapat menghadirinya dan dia mengakui amat sedih.
“Namun, Alhamdulillah kali ini ibu bapa saya akan datang malah akan naik ke pentas bersama saya untuk menerima anugerah tertinggi dari UPM ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 2 Tahun 2026 di Bangunan Canselori Putra, UPM, di sini, hari ini.
Ahmad Danish Iskandar menjadi antara 6,443 graduan daripada pelbagai program pengajian untuk menerima ijazah dan diploma sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 2 Tahun 2026 yang akan diadakan selama tujuh hari mulai Isnin ini di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM.
Ditanya bagaimana membahagikan masa antara akademik dan kokurikulum, dia yang bercita-cita menjadi penganalisis data atau pensyarah berkata, setiap program atau aktiviti yang akan dijalankan oleh pasukannya akan dibuat di awal semester supaya tidak mengganggu waktu peperiksaan.
Selain itu katanya, walaupun sentiasa sibuk dengan pelbagai program kokurikulum dan aktiviti kepimpinan, dia bersyukur kerana mendapat rakan sekelas yang banyak membantunya terutama dalam akademik.
“Apa yang penting adalah berdoa kepada Allah dan meminta keluarga turut sama berdoa dan seterusnya berusaha dalam apa jua yang kita lakukan,” katanya.
Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera) Lye Kemin, 23, berkata, dia sangat terharu apabila berpeluang menerima anugerah berkenaan berikutan aktif dalam kesukarelawan.
Graduan Bacelor Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang berasal dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang itu berkata, dia bersyukur kerana peluang belajar di UPM selama empat tahun membolehkan dia meneroka banyak perkara.
“Apa yang penting adalah mencuba dahulu sesuatu perkara terlebih dahulu dan jika timbul minat, teruskan kerana tidak salah mencuba berikutan ia satu pengalaman kepada kita,” kata anak sulung dari tiga beradik itu.
Penerima Pingat Emas Razlan Putra, Nurul Ashikin Abas, 26, yang juga atlet olahraga mengakui sejak masuk ke UPM, dia sudah menanam hasrat mendapatkan pingat berkenaan.
Katanya, walaupun minat bersukan dari sekolah rendah kerana aktif dalam hoki dan bola baling, tetapi dia mengakui semuanya bermula apabila dia dipaksa ibu bapa dan guru masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat yang juga sekolah sukan ketika di Tingkatan Satu.
“Saya tidak mahu masuk sekolah berkenaan kerana ia sekolah berasrama tetapi ibu bapa paksa kerana saya anak bongsu dari 13 beradik selain tiada abang atau kakak berpeluang masuk ke asrama ketika itu.
“Walaupun setiap minggu saya minta pulang ke rumah tetapi saya bersyukur kerana paksaan itu membolehkan saya bergelar atlet olahraga malah hingga berjaya masuk ke Sukan SEA dua kali dan menang pingat emas dalam SUKMA 2018,” katanya.
Nurul Ashikin yang kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut berkata, dia berhasrat menyambung pengajian lagi selepas ini walaupun ada mendapat tawaran menjadi guru.
Bagi kategori pascasiswazah pula, Dr Husain Murat, 42, graduan Doktor Falsafah dalam bidang Fizik Perubatan bakal menerima Hadiah Kecemerlangan Penyelidikan (PhD) All Cosmos Industries.
Pegawai Sains Fizik itu berkata, dia tidak menyangka kajiannya berkenaan pengoptimuman dos radiasi dan keselamatan radiasi terhadap pesakit membolehkan dia menerima hadiah berkenaan.
“Sesuatu kejayaan itu akan datang dalam bentuk pakej iaitu tanggungjawab serta komitmen yang tidak berbelah bagi selain perlu bersemangat tinggi untuk berjaya.
“Jadi, nasihat saya kepada pelajar yang sedang menyambung pelajaran atau yang akan menyambung pelajaran supaya dapat memberikan ruang dan masa untuk tetapkan matlamat kerana jika itu jelas akan membawa ke hala tuju yang betul walaupun ada pelbagai cabaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd