Ipoh: Polis giat mengesan empat lelaki disyaki warga Indonesia terbabit dalam kejadian samun berkumpulan bersenjatakan parang dan memecah masuk rumah di sekitar Sitiawan dan Ayer Tawar, dekat Manjung, sejak semalam.
Baca juga: Angkara penyokong, Marseille berdepan tindakan UEFA
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian samun berkumpulan dan empat laporan pecah masuk rumah yang berlaku antara semalam dan awal pagi tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu mempunyai persamaan dari segi modus operandi dengan suspek memakai topeng muka, bersenjatakan parang dan memasuki rumah mangsa pada awal pagi.
“Suspek mengikat mangsa sebelum melarikan diri bersama-sama barangan berharga seperti telefon bimbit, jam tangan, kasut serta wang tunai berjumlah RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasbullah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung melalui talian 05-688 6222 atau WhatsApp 017-682 8005, atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan berasingan, polis berjaya memberkas tiga lelaki dan dua wanita dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di sekitar bandar raya ini pada 11 September lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata masing-masing yang berusia antara 29 hingga 55 tahun ditahan antara 1.30 tengah hari hingga 4 petang di sekitar bandar raya ini, Rabu lepas.
“Operasi penahanan dijalankan susulan laporan kejadian pecah rumah yang diterima pada 11 September, melibatkan kehilangan beberapa barangan milik pengadu dan isterinya, termasuk jam tangan dan barang kemas.
“Polis turut merampas dua resit pertukaran mata wang, enam resit urus niaga barang kemas dan satu telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata suspek utama didapati mempunyai 53 rekod lampau, merangkumi 39 kes jenayah dan 14 kes berkaitan dadah selain saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Pihak polis turut berjaya mengesan kemungkinan penglibatan suspek utama dalam satu lagi kes pecah rumah dan satu kes curi kabel di sini. Dia kini direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd