KUALA LUMPUR: Pemergian tokoh akademik dan aktivis masyarakat, Dr Chandra Muzaffar disifatkan sebagai kehilangan besar buat negara terutama PKR, yang mengiktiraf sumbangan Allahyarham dalam membawa perjuangan reformasi dan penubuhan parti itu.
Baca juga: Tindakan pembetulan sudah diambil, tadbir urus projek i-Breath diperkukuh – UTM
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata Allahyarham antara individu yang berani tampil memperjuang keadilan ketika gerakan reformasi serta berdepan pelbagai tekanan dan cabaran pada 1998.
Katanya, Allahyarham memainkan peranan penting sejak pembabitannya dalam pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dan arena politik negara.
“Daripada pembabitan dalam Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), menggalas amanah sebagai Timbalan Presiden Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL), sehinggalah menjadi Timbalan Presiden pertama Parti Keadilan Nasional pada tahun 1999, beliau turut menyemai benih perjuangan yang menjadi asas kepada PKR yang kita kenali hari ini.
“Sebagai insan yang turut melalui detik-detik awal perjuangan ini, saya amat menghargai segala jasa, pengorbanan dan sumbangan pemikiran Allahyarham.
“Bukan mudah untuk membina sebuah parti dalam suasana yang begitu mencabar ketika itu,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Fuziah berkata, sumbangan Allahyarham tidak hanya tertumpu kepada bidang politik, malah turut merangkumi perjuangan memperjuang keadilan sosial, hak asasi manusia, kemanusiaan dan keharmonian merentasi kaum, agama serta negara.
Menurutnya, Chandra juga pengasas Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) dan tokoh penggerak, Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST), yang mengabdikan kehidupannya dalam memperjuangkan nilai keadilan sejagat.
Katanya, segala jasa dan pengorbanan Allahyarham akan terus terpahat dalam sejarah reformasi dan PKR.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima segala amal kebajikannya, melapangkan kuburnya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Selamat jalan, Dr Chandra. Terima kasih kerana bersama-sama menyemai benih perjuangan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd