LATEST

Angkara penyokong, Marseille berdepan tindakan UEFA

Angkara penyokong, Marseille berdepan tindakan UEFA

Marseille: Marseille berdepan kemungkinan dikenakan tindakan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) selepas beberapa penyokong Levski Sofia cedera akibat keganasan yang tercetus di tempat duduk penonton ketika perlawanan Liga Europa, awal pagi tadi.

Baca juga: Fury dibenarkan beraksi lawan Joshua

Insiden itu turut mendapat kecaman Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan rakan sejawatnya dari Bulgaria, Iliana Iotova, selain polis membuka siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Keganasan tercetus sebelum sepak mula di Stade Velodrome apabila beberapa ratus penyokong Marseille berlari dari tempat duduk mereka untuk berdepan kumpulan penyokong Levski Sofia, sekali gus mencetuskan pergaduhan.

Macron mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang menyasarkan penyokong Bulgaria, menurut kenyataan Istana Elysee, manakala Iotova menyifatkan kejadian itu sebagai tidak boleh diterima dan mengejutkan.

Seorang sumber daripada kumpulan penyokong Marseille mendakwa tindakan itu berpunca daripada provokasi penyokong Bulgaria, sebelum beberapa puluh penyokong Levski dikejar dan akhirnya berlindung di bahagian rasmi penyokong pelawat yang menempatkan kira-kira 500 penyokong.

Pergaduhan turut membabitkan penyokong Marseille yang memakai penutup muka dan membawa batang bendera, selain objek serta suar dilontarkan sebelum keadaan kembali terkawal.

Perlawanan kemudian diteruskan seperti dijadualkan dengan Marseille menang 1-0.

Pihak berkuasa polis di Bouches-du-Rhone, wilayah Marseille, memaklumkan kira-kira 12 individu cedera, semuanya penyokong Bulgaria, dengan lima daripada mereka dibawa ke hospital akibat kecederaan mata, trauma kepala dan bahu terkehel, manakala enam lagi menerima rawatan di lokasi kejadian.

Dua anggota polis rusuhan turut mengalami kecederaan ringan.

Tiada tangkapan dibuat, namun pendakwa raya Marseille membuka siasatan berhubung kes keganasan sengaja yang dilakukan dalam keadaan memburukkan.

Iotova berkata, serangan terhadap penyokong Bulgaria mencemarkan salah satu perlawanan hebat yang menyatukan jutaan peminat di seluruh dunia, selain menegaskan setiap penyokong berhak menyokong pasukan masing-masing tanpa bimbang terhadap keselamatan.

Macron turut memberi jaminan kepada Perdana Menteri Bulgaria, Rumen Radev, ketika pertemuan di luar sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Brussels bahawa insiden berkenaan tidak akan dibiarkan tanpa tindakan, manakala Parlimen Bulgaria meluluskan deklarasi mengutuk keganasan itu dan menuntut siasatan segera, menyeluruh serta tidak berat sebelah.

Marseille dalam kenyataannya turut mengutuk keras insiden berkenaan dan memaklumkan sedang meneliti secara mendalam punca kejadian serta bekerjasama dengan pihak polis.

UEFA dijangka membuka siasatan sendiri, dengan kedua-dua kelab berpotensi dikenakan tindakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news