LATEST

Pelantikan enam EXCO pulihkan pentadbiran Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

Pelantikan enam EXCO pulihkan pentadbiran Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Baca juga: DPMM pesta gol, lonjak tangga ketiga

Bagan Datuk: Pelantikan enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan membolehkan pentadbiran kerajaan negeri itu kembali berfungsi sepenuhnya bagi melunaskan segala tanggungjawab kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita harapkan dengan pelantikan EXCO ini, ia akan dapat melunaskan semula segala tanggungjawab kerajaan Negeri Sembilan, bukan sahaja untuk mengadakan sidang khas belanjawan di DUN (Dewan Undangan Negeri), tetapi juga kepada semua jabatan dan agensi kerajaan serta kumpulan sasaran di peringkat daerah, mukim dan kampung.

“Paling penting ialah rasa keyakinan rakyat keseluruhannya kepada kerajaan atas perkenan Tuanku ini (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir).

“Saya yakin kemelut ini telah berakhir dan kita harap tidak akan timbul sebarang permasalahan baharu selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Himpunan Huffaz 26K 2026 dan Bagan Datuk Bermunajat, di sini, hari ini.

Presiden UMNO itu turut menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Muhriz mengekalkan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar serta melantik enam EXCO yang baharu, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pendirian Barisan Nasional (BN) pusat terhadap penyelesaian kemelut politik di negeri itu, Ahmad Zahid memaklumkan lima kepimpinan utama menghadap Tuanku Muhriz semalam dalam suasana perbincangan yang tenang.

“Apa yang telah diputuskan oleh Tuanku itu adalah satu keputusan yang terbaik dan rakyat keseluruhannya harus mendukung apa yang telah diperkenankan dan dititahkan oleh Tuanku,” katanya.

Terdahulu, Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan enam EXCO Negeri Sembilan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Barisan EXCO yang dilantik membabitkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN iaitu Suhaimi Aini (Kota), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang) dan Koh Kim Swee (Repah – MCA).

Dua lagi jawatan EXCO diisi oleh ADUN Gemas daripada WAWASAN, Ridzuan Ahmad, dan ADUN Bagan Pinang daripada PAS, Abdul Fatah Zakaria.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news