KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd meningkat kepada RM679 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM616 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Baca juga: Jasa Dr Chandra Muzaffar dalam perjuangan reformasi terus dikenang – Fuziah
Hasil kumpulan turut meningkat kepada RM7.11 bilion daripada RM6.57 bilion, disokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IHH Healthcare berkata pertumbuhan hasil turut didorong peningkatan bahagian kes pesakit akut serta pelarasan harga bagi menampung inflasi.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM1.78 bilion berbanding RM1.57 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil bagi tempoh berkenaan pula meningkat kepada RM20.72 bilion daripada RM19.16 bilion, disokong pertambahan jumlah pesakit dan pendapatan.
Bagaimanapun, pertumbuhan itu sebahagiannya diimbangi kenaikan kos kakitangan serta perbelanjaan operasi lain.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH Healthcare, Dr Prem Kumar Nair, berkata kumpulan sekali lagi mencatatkan prestasi kukuh pada suku ketiga, disokong peningkatan jumlah pesakit dalam wad dan pesakit rawatan harian.
“Rangkaian unik dan pelbagai kami, dengan sinergi kumpulan dan disiplin kewangan yang melengkapi strategi bersasar bagi setiap pasaran, berjaya mencatatkan pertumbuhan 30 peratus dalam keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti pada suku ketiga 2026.
“Kami kekal yakin dalam mencapai matlamat strategik kami dan mencatatkan pulangan ekuiti dua digit menjelang 2028,” katanya.
IHH Healthcare berkata, kumpulan kekal yakin terhadap hala tuju pertumbuhannya ketika permintaan meningkat, disokong keupayaan klinikal yang kukuh.
Di Malaysia, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pengembangan segmen rawatan harian dan pelancongan perubatan.
Usaha itu turut merangkumi pengukuhan kerjasama dengan syarikat insurans dan penyedia perlindungan perubatan serta pengembangan terpilih di kemudahan sedia ada.
Kumpulan juga akan memastikan operasinya selaras dengan keutamaan kerajaan dalam sektor penjagaan kesihatan, khususnya penyediaan penjagaan berasaskan nilai.
© New Straits Times Press (M) Bhd