am@hmetro.com.my
Baca juga: Dr Chandra Muzaffar meninggal dunia
PELAKON jelita Ramona Zamzam bukan nama asing dalam industri hiburan tanah air apabila aktres kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini sudah berkecimpung sejak lebih dua dekad lalu.
Mula berlakon sejak 2002, Ramona bersyukur masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama serta filem walaupun kemunculan ramai bakat baharu dan pempengaruh membanjiri industri seni ketika ini.
Secara peribadi, Ramona atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 36, mengakui dia tidak mengejar glamor mahupun populariti sebaliknya bersandarkan minat mendalam dalam bidang seni.
Sebagai pelakon, katanya, masih banyak lagi watak yang mahu dilakonkan sekali gus mencabar kemampuan dalam bidang lakonan.
“Sebenarnya, saya sudah bosan dengan watak tipikal dalam lakonan. Banyak lagi karya dan watak lain yang saya nak cuba, tapi masih belum ada rezeki.
“Industri hiburan kita tak sama dengan luar negara kerana watak ditawarkan juga terhad.
“Maklumlah, saya berkembang dalam industri seni melalui banyak karakter antagonis seperti ‘penyondol’ dan saya sudah biasa dengan watak sebegitu dari zaman sebelum berkahwin lagi.
“Jadi, saya sudah bosan dengan watak penyondol dan berilah saya watak lain kerana saya mahukan cabaran,” katanya ketika ditemubual RapXTRA.
Mengenai watak diimpikan pula, kata Ramona, dia mahu melakonkan watak psiko atau karakter pembunuh bersiri disebabkan ia adalah sesuatu yang berbeza dalam kehidupan realiti.
“Saya juga suka dengan cerita genre aksi seperti rompak bank dan bersedia untuk mengambil kelas bagi menjayakan babak berkenaan.
“Sebelum ini, saya pernah beberapa kali dapat watak aksi antaranya berlakon di bawah arahan Syafiq Yusof dalam filem KL Special Force.
“Saya puas hati dapat watak itu walaupun kaki terseliuh semasa penggambaran. Saya menangis kerana seminggu tidak boleh berjalan, tapi ia beri impak yang sangat indah dalam karier sebagai pelakon,” katanya yang kini tampil dengan imej baharu berambut pendek.
Mendirikan rumah tangga dengan jejaka Palestin, Rami Alashkar pada 1 Mei 2015, Ramona juga bersyukur kerana suaminya sangat memahami dan sentiasa menyokong kerjaya seninya sampai sekarang.
Namun, Ramona pernah ‘senyap’ seketika dalam bidang lakonan pada 2017 selepas melahirkan anak perempuannya, Ivanna Alaskhar yang kini berusia sembilan tahun.
Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Begitukah Cinta, Nora Elena, Cinta Jannah, Tuan Rumah Pembantu Rumah, Plan Cinta Tak Jadi, Anakku Diva, My Sweet Lavender, Polis Peronda dan banyak lagi.
Selain itu, dia juga pernah berlakon dalam projek filem seperti Castello, 2 Hati 1 Jiwa, Sepah The Movie, Hospital dan Jengka.
Sedia dibenci penonton
Beralih lakonan terbaharunya dalam drama bersiri 28 episod, Tertulis Kita Sampai Syurga, Ramona melakonkan watak Fiona berganding dengan Shukri Yahaya dan Qistina Khaled selaku teraju utamanya.
Menurut Ramona, dia juga berdepan cabaran dan tekanan untuk melakonkan watak Fiona yang juga karakter antagonis dalam drama bersiri itu.
“Fiona digambarkan sebagai karakter wanita diva, menyakitkan hati dan pentingkan diri sendiri.
“Saya berasa penat sangat lakonkan watak Fiona kerana dia sering bergaduh dengan semua orang termasuk bekas suami (lakonan Shukri), anak-anak, isteri baru bekas suami serta kawan sendiri.
“Watak Fiona beri tekanan emosi pada saya kerana saya sudah bertungkus lumus untuk beri yang terbaik sehingga turut berasa sedih selepas penggambaran drama itu selama tiga bulan berakhir.
“Bekerja dengan pengarah juga semuanya okay dan berjalan lancar kerana saya sentiasa berusaha memberi lakonan yang terbaik seperti dikehendaki skripnya,” katanya.
Ditanya maklum balas penonton pada drama Tertulis Kita Sampai Syurga, kata Ramona, dia sudah sedia apabila watak Fiona dibenci dan menerima kecaman daripada penonton.
“Maklum balas penonton pada watak Fiona juga menakutkan bila sudah masuk episod ke-13 ini.
“Bila saya tengok komen di media sosial watak Fiona dikecam dan nampak orang marah dan benci hingga ada orang yang berdoa supaya dia cepat mati.
“Saya anggap watak jahat Fiona yang dilakonkan berjaya bila penonton juga benci,” katanya.
Bukan sekadar karya klise yang berpaksikan konflik rumah tangga, Tertulis Kita Sampai Syurga tampil mengangkat kisah ketabahan sebuah keluarga, kedalaman emosi dan pengorbanan cinta yang sebenar.
Drama terbitan MIG Pictures Sdn Bhd di bawah arahan Along Kamaludin ini diadaptasikan daripada karya novelis Aalin Amily dan mula menemui penonton bermula 9 November lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam menerusi slot Akasia di TV3.
© New Straits Times Press (M) Bhd