LATEST
National

DPMM belasah KRW 5-0, lonjak tangga ketiga

DPMM belasah KRW 5-0, lonjak tangga ketiga

KUALA LUMPUR: DPMM FC melakar kemenangan terbesar mereka dalam Liga Super musim ini selepas membelasah pasukan tercorot, Kelantan Red Warrior FC 5-0 pada aksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.

Baca juga: Impian Speedy Tigress ke final lebur

Kemenangan keenam daripada lapan perlawanan itu membolehkan skuad bimbingan James Mcallister itu melonjak ke tangga ketiga dengan 18 mata, terikat bersama pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) namun mereka beraksi lebih dua perlawanan.

KRW pula gagal meneruskan momentum yang diraih hasil kemenangan 2-1 ke atas Sabah FC sebelum ini sekali gus menghimpun kekalahan buat kali ketujuh musim ini dengan hanya tiga mata.

Pada aksi terbabit, tuan rumah hanya memerlukan lapan minit untuk membuka jaringan selepas lorongan Dalberto Luan Belo menemui Jordan Murray yang melakukan penyudah leret menewaskan Wan Muhammad Harif Wan Muhd Hazli.

DPMM FC terus melebarkan jurang pada minit ke-13 selepas hantaran satu dua antara Muhammad Hakeme Yazid Said dan Muhammad Azwan Ali Rahman membolehkan Azwan Ali melepaskan rembatan yang terbias mengelirukan Wan Muhammad Harif sebelum menerjah gawang KRW.

Malang terus menimpa KRW apabila Iskandar Shah Mohd Jamil Kilin dilayangkan kad merah pada minit ke-31 selepas pengadil, Abang Azharudin Abdullah meneliti monitor Video Bantuan Pengadil (VAR) dan mendapati pemain itu menghalang percubaan Hakeme ke arah gawang gol terbuka.

Susulan itu, Abang Azharudin turut memberikan sepakan penalti buat DPMM FC yang disempurnakan Hakeme untuk kedudukan 3-0 sebelum hantaran lintang Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik ditanduk masuk Dalberto pada minit ke-36.

Membuka babak kedua dengan kedudukan selesa 4-0, DPMM FC terus ‘mengganas’ apabila Dalberto menambah gol kedua peribadinya hanya selepas dua minit permainan bersambung untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Pelawat berusaha untuk memburu sekurang-kurangnya gol saguhati namun peluang menerusi sepakan percuma di sudut baik pada minit ke-71 gagal disempurnakan selepas rembatan Wan Mohammad Aikal Daniel Wan Mohd Rizal tersasar tinggi.

Kedudukan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan untuk tuan rumah menghadiahkan tiga mata buat penyokong yang hadir memberi sokongan di laman sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news