LATEST

Luka cinta lama datuk nenek gugat perkahwinan cucu

Luka cinta lama datuk nenek gugat perkahwinan cucu

Kuala Lumpur : Persiapan perkahwinan sepasang anak muda membuka semula kisah cinta lama datuk dan nenek mereka dalam Cinta Lama Babak Kedua (#CLBK), filem drama romantik dari Indonesia arahan Ivander Tedjasukmana bakal menemui penonton di pawagam Malaysia bulan depan.

Baca juga: 72 rakyat Malaysia jadi ‘hamba’ scam di India

Naskhah edaran Juragan Kaya Sdn Bhd itu menggandingkan dua pelakon veteran Indonesia, Widyawati sebagai Sita dan Slamet Rahardjo sebagai Abi, manakala Iskak Khivano atau Khiva Iskak dan Sintya Marisca masing-masing memegang watak Raka dan Ambar.

Barisan pelakon turut dibintangi Gisellma Firmansyah, Sarah Sechan serta Kiki Narendra.

Pada sidang media filem itu di Jakarta, baru-baru ini, Ivander berkata skrip Cinta Lama Babak Kedua tersimpan hampir sedekad sebelum berjaya diterbitkan, selain menyifatkan pengalaman mengarahkan Slamet Rahardjo dan Widyawati banyak memberi pengajaran kepadanya.

Widyawati pula menyifatkan konflik watak Sita dan Abi sebagai sesuatu yang dekat dengan realiti kehidupan.

“Mungkin tidak persis seperti ini tetapi pasti ada yang mengalami,” katanya.

Kisah bermula apabila Raka dan Ambar sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan sebelum Sita, nenek Raka, membatalkan majlis keluarga selepas mengetahui Abi, datuk Ambar, ialah bekas kekasih yang pernah melukakan hatinya ketika muda.

Usaha Ambar memujuk Abi meminta maaf kepada Sita pula mengungkit semula luka lama dan merumitkan keadaan, sehingga Raka dan Ambar mula menjauhkan diri kerana masing-masing mempertahankan keluarga sendiri.

Keadaan berubah apabila Sita dan Abi terserempak di Bandung. Raka dan Ambar mengambil peluang memberi ruang untuk kedua-duanya berdamai, namun pertemuan itu tanpa disangka menyemarakkan kembali perasaan lama antara Sita dan Abi hingga meruncingkan lagi hubungan pasangan muda tersebut.

Akhirnya, kesedaran Sita bahawa kisah silam sudah berlalu demi masa depan cucunya membuka jalan kepada Abi untuk berbuat perkara yang sama, sekali gus memberi peluang kedua buat cinta Raka dan Ambar.

Menjelang tayangan umum, malam gala Cinta Lama Babak Kedua akan berlangsung di TGV Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang, pada 3 Disember ini.

Menariknya majlis itu dijadualkan meriah dengan kehadiran Widyawati, Sintya Marisca, Iskak Khivano dan Gisellma Firmansyah serta penerbit bersama, Vladimir Rama.

Filem ini terlebih dahulu ditayangkan di Indonesia pada 2 Julai lalu sebelum memasuki pawagam tempatan bermula 10 Disember ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news