KUALA LUMPUR: Aksi payung terjum dilakukan Pasukan Khas Udara (PASKAU) memeriahkan lagi suasana Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-28, di Tanjung Malim, Perak, semalam.
Baca juga: DPMM belasah KRW 5-0, lonjak tangga ketiga
Lebih menarik, Pemangku Panglima Rejimen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kolonel Muhammad Mustafa, turut menyertai aksi terjunan itu.
UPSI dalam hantaran di Facebook berkata, 94 pegawai dan anggota diketuai Muhammad Mustafa melaksanakan terjunan berkenaan di Pusat Sukan dan Pusat Kokurikulum.
“Sepanjang aktiviti berlangsung, beberapa aset udara TUDM digunakan, antaranya helikopter EC725 AP, helikopter AW139 dan pesawat C130 Hercules bagi menyokong pelaksanaan aktiviti latihan payung terjun.
“Penganjuran aktiviti ini bukan sahaja memeriahkan suasana sambutan Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28, malah mencerminkan jalinan kerjasama strategik antara UPSI dengan TUDM,” katanya.
Menurutnya, kerjasama strategik seperti itu penting dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan angkatan pertahanan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd