KUALA LUMPUR: Seramai 28 anggota komando dan pasukan khas Tentera Darat Malaysia (TDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Rejimen Pasukan Khas Brunei menyertai kursus tempur jarak dekat, Eks Harimau Kota, di Batu Gajah, Perak.
Baca juga: Alonso rayu Chelsea terus bersatu
Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MyTRADOC) dalam satu hantaran di Facebook berkata, latihan membabitkan operatif daripada Grup Gerak Khas (GGK) TDM, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia dan pasukan khas Brunei.
Eksesais itu berteraskan konsep operasi melawan keganasan yang juga satu daripada kepakaran teras pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Latihan ini dirancang bagi menguji keupayaan penuntut kursus dalam aspek perancangan, penyelarasan serta pelaksanaan operasi ke atas sasaran bernilai tinggi melalui aplikasi taktikal yang realistik dan menepati keperluan operasi sebenar.
“Pendekatan latihan ini bukan sahaja memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran taktikal dan teknikal, malah turut membentuk pengetahuan operasi yang mantap,” kata hantaran itu.
Eksesais itu juga memupuk sikap profesionalisme, disiplin dan integriti tinggi operatif supaya mempunyai daya tahan dalam menghadapi cabaran persekitaran operasi yang kompleks.
Turut hadir menyaksikan eksesais adalah Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Kolonel Nordin Abu.
Kehadiran beliau bagi meninjau latihan di lapangan selain menilai tahap penguasaan penuntut terhadap elemen kemahiran, pengetahuan dan sikap (SKA) yang diterapkan.
Dalam ucapannya, Nordin menegaskan bahawa kursus berkenaan hanya menerapkan teknik, taktik dan prosedur asas dalam operasi melawan keganasan.
Nordin berkata, semua objektif di dalam kursus berkenaan menjurus kepada melahirkan anggota penggempur yang berkredibiliti dan kompeten dalam setiap latihan dan operasi.
“Latihan ini bertujuan membentuk anggota mempunyai tahap kesiagaan, kemahiran, disiplin dan keyakinan diri yang tinggi.
“Berdasarkan moto Kelajuan, Agresif dan Kejutan, setiap anggota penggempur tidak boleh leka dan lena kerana keganasan tidak akan pernah berlembut dan berhenti berehat,” katanya.
Menurut Nordin, latihan yang dilalui sepanjang kursus bukan sekadar mendapatkan sijil, tetapi bagi melahirkan anggota yang benar-benar kompeten dan sentiasa bersedia untuk diatur gerak.
© New Straits Times Press (M) Bhd