LATEST

Kecuaian pembekal punca pelajar MRSM dihidangkan ayam mentah – EXCO

Kecuaian pembekal punca pelajar MRSM dihidangkan ayam mentah – EXCO

am@hmetro.com.my

Baca juga: Aksi terjun payung PASKAU meriahkan konvokesyen UPSI

Jasin: Kecuaian pembekal yang terlupa menyediakan tambahan kira-kira 100 ketul ayam untuk pelajar berpuasa menyebabkan berlaku kekurangan makanan sehingga ada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba (TGB) disajikan ayam mentah, baru-baru ini.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, perkara itu dikenal pasti hasil taklimat dan lawatan ke MRSM berkenaan yang mendapati pembekal gagal mengambil kira keperluan tambahan makanan bagi pelajar yang berpuasa.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kira-kira 100 ketul ayam tidak mencukupi untuk menampung keperluan semua pelajar, dengan mereka yang makan lebih awal mendapat makanan mencukupi, manakala pelajar di penghujung giliran berdepan kekurangan.

“Situasi luar jangka itu menyebabkan tekanan kepada pelajar, warden, tukang masak dan pembekal sehingga berlaku kejadian ayam tidak sempat dimasak sepenuhnya sebelum dihidangkan.

“Bagaimanapun, siasatan dalaman MRSM dan pemeriksaan pegawai Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) serta Pejabat Kesihatan Daerah Jasin sudah dilakukan, manakala beberapa teguran serta tindakan dalaman diambil terhadap pembekal (pengusaha kantin) terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke dewan makan dan dapur MRSM Tun Ghafar Baba bersama pihak pengurusan, MPJ dan Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, pihak MRSM ketika itu mengambil tindakan segera dengan menyediakan makanan alternatif bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.

“Alhamdulillah, tidak ada sebarang keracunan makanan berlaku dan tindakan pantas daripada MRSM dapat memberikan makanan alternatif kepada pelajar-pelajar ini pada hari kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ridhwan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Jasin mengeluarkan notis teguran kepada pengusaha kantin berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, khususnya berkaitan aspek kebersihan serta mutu makanan.

Menurutnya, pihak berkenaan turut diberikan tempoh tiga hari untuk melaksanakan kerja penambahbaikan termasuk pembersihan sebelum pemeriksaan susulan dilakukan dengan lebih kerap oleh pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news