LATEST
National

PRN Sarawak: 4,899 polis kawal proses penamaan calon

PRN Sarawak: 4,899 polis kawal proses penamaan calon

KUCHING: Seramai 4,899 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak ditugaskan mengawal keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, hari ini.

Baca juga: 28 anggota pasukan khas sertai Eks Harimau Kota

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Komisioner Saifullizan Ishak, berkata penugasan membabitkan 481 pegawai kanan dan 4,418 pegawai rendah yang ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negeri.

Penempatan anggota bertujuan memastikan proses penamaan calon di 82 pusat penamaan calon berlangsung dalam keadaan aman, teratur dan selamat, selain menjamin kelancaran pergerakan calon, penyokong serta orang awam.

Bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan berada pada tahap optimum, polis turut menempatkan lima unit Public Order Riot Unit (PORU), 47 pasukan Light Strike Force (LSF) dan 75 pasukan Cantas Jabatan Siasatan Jenayah sebagai pasukan sokongan serta tindakan pantas.

Berlangsung dengan aman

Menurutnya, secara keseluruhannya, proses penamaan calon di semua 82 pusat penamaan calon berlangsung dengan aman, lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden yang menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan.

“Kejayaan itu mencerminkan kesiapsiagaan, komitmen dan profesionalisme PDRM Kontinjen Sarawak dalam memastikan keselamatan serta kelancaran proses pilihan raya.

“Persiapan rapi turut dilakukan dari segi kekuatan anggota, penugasan dan logistik, dengan penyelarasan membabitkan semua ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh Sarawak mengikut keperluan operasi serta tahap risiko di setiap kawasan,” katanya.

Ingatkan calon patuh undang-undang

Memasuki tempoh berkempen selama 14 hari, beliau meminta semua calon, parti politik dan penyokong mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya, termasuk arahan dan ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semua pihak juga diingatkan supaya mengelakkan provokasi, perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta tindakan yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara penyokong parti politik, manakala polis akan bertindak secara profesional, adil dan berkecuali terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“PDRM turut memberi perhatian terhadap penyalahgunaan media sosial, khususnya penyebaran berita palsu, fitnah, hasutan dan isu sensitif agama, kaum serta institusi diraja (3R), dengan pengundian awal dijadualkan pada 8 Disember dan hari pengundian sebenar pada 12 Disember ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news