WASHINGTON: Platform pengkomputeran awan milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) diceroboh penggodam, sekali gus berpotensi menyebabkan maklumat ketenteraan sensitif terdedah, lapor NBC News semalam.
Seorang pegawai AS mengesahkan kejadian pencerobohan berkenaan kepada NBC News, namun enggan mendedahkan bila insiden itu berlaku atau kesannya terhadap sistem berkenaan.
Baca juga: PRN Sarawak: GPS menang tanpa bertanding di lapan kerusi – SPR
Tentera Udara AS bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu atas alasan keselamatan.
“Jabatan Tentera Udara tidak mengulas mengenai tahap keselamatan, kelemahan atau status operasi rangkaian dan sistem tertentu,” kata jurucakap agensi itu.
Insiden berkenaan merupakan kejadian terbaharu dalam siri pencerobohan siber yang membabitkan sistem kerajaan AS.
Sebelum ini, Pusat Maklumat Jenayah Kebangsaan (NCIC) kendalian Biro Siasatan Persekutuan (FBI) turut dilaporkan menjadi sasaran pencerobohan.
Pangkalan data itu digunakan agensi penguat kuasa undang-undang di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan untuk berkongsi maklumat penting.
Mengulas mengenai keselamatan siber, jurucakap Tentera Udara AS berkata, perlindungan sistem ketenteraan kekal menjadi keutamaan.
“Jabatan itu sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi maklumat, sistem dan keupayaan operasinya.
“Memastikan keselamatan, daya tahan dan ketersediaan aset ketenteraan paling kritikal kekal menjadi keutamaan utama kami,” kata jurucakap berkenaan pada Jumaat.
Tentera Udara AS turut memaklumkan pihaknya terus menilai dan menaik taraf keupayaan sistem pengkomputeran awan bagi memenuhi keperluan operasi, keselamatan, daya tahan serta pengguna yang sentiasa berubah.
“Keputusan berkaitan seni bina teknikal, penempatan beban kerja, kontrak dan keupayaan masa depan dibuat menerusi proses tadbir urus, perolehan dan pengurusan risiko yang ditetapkan,” katanya.
The post Penggodam ceroboh platform awan Tentera Udara AS appeared first on Utusan Malaysia.