LATEST
National

Gaji Hodak ikut bajet – FAM

Gaji Hodak ikut bajet – FAM

SUBANG JAYA: Rundingan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengendali baharu Harimau Malaya, Bojan Hodak disifatkan sebagai ‘situasi menang-menang’ apabila kadar gaji yang dipersetujui kekal berpatutan dan selari dengan had bajet persatuan.

Baca juga: ‘Chandra Muzaffar seorang pemikir yang berani’ – Anwar

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan kata sepakat tercapai menerusi rundingan terbuka antara kedua-dua pihak tanpa memaksa badan induk itu ‘pecah tabung’ memandangkan persatuan mempunyai batas kewangan tersendiri yang perlu dipatuhi.

“Apa yang paling penting dalam soal gaji ini adalah apabila kita berunding, kedua-dua pihak iaitu FAM dan dia (Hodak) mencapai persetujuan. Maknanya FAM juga mempunyai had bajet tersendiri jadi apabila kita dan dia sama-sama bersetuju, barulah ia direalisasikan.

“Saya rasa tidak timbul soal gaji lumayan, sebaliknya ia berada pada kadar yang berpatutan seperti yang diminta memandangkan kita juga mempunyai had bajet. Tambahan pula, kita akan membentangkan peruntukan khusus tidak lama lagi bagi pelantikan ketua jurulatih ini,” katanya.

Ghani berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Tahunan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) di Subang Jaya, hari ini.

Menurut Ab Ghani, beliau turut mengharapkan kerjasama yang pernah terjalin ketika kedua-dua individu bersama dalam skuad Bawah 19 tahun (B-19) mampu membantu mengangkat kualiti bola sepak negara ke tahap lebih baik.

“Saya sudah lama mengenali Bojan dan hubungan komunikasi antara kami tidak pernah terputus. Diharapkan menerusi hubungan baik ini, ia mampu melahirkan sesuatu yang positif demi pasukan kebangsaan,” katanya.

Sebagai rekod, Hodak yang sebelum ini bertugas sebagai pengendali skuad B-19 negara pada 2017 hingga 2019 pernah bergandingan bersama Ab Ghani yang ketika ini menjadi pengurus pasukan B-19 negara.

Gandingan mereka membantu skuad B-19 muncul juara Kejuaraan AFF B-19 2018 dan juga layak ke pusingan akhir Piala AFC B-17 2018.

Terdahulu, timbul persoalan mengenai berapakah sebenarnya harga yang terpaksa dibayar FAM di sebalik tabir demi memancing pengendali penuh karisma itu ke kem Harimau Malaya?

Teka-teki itu mula mencetuskan tanda tanya besar apabila laporan media Indonesia yang memetik beberapa sumber mendakwa bekas pengendali Persib Bandung itu mendapat gaji setinggi RM2.24 juta semusim bersama pasukan terbabit.

Angka luar biasa yang masih menjadi perbualan hangat di luar gelanggang itu seakan mengundang persoalan getir mengenai sejauh mana kesanggupan FAM berbelanja besar serta mampukah pelaburan mewah tersebut benar-benar berbaloi dengan hasil di atas padang?

Ejen berpengalaman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Effendi Jagan Abdullah, mengakui nilai pasaran Hodak berada pada paras tinggi selari dengan reputasi serta pencapaiannya di rantau ini.

Tegasnya, mendapatkan khidmat jurulatih dengan kaliber seperti Hodak bukanlah sesuatu yang ‘murah’ dan beliau percaya FAM menghormati Hodak dengan memberi tawaran yang sewajarnya dengan harga pasaran pengendali itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news