LATEST

Suspek bunuh wanita ditahan selepas skuter rempuh gajah liar

Suspek bunuh wanita ditahan selepas skuter rempuh gajah liar

Colombo: Seorang lelaki warga Sri Lanka yang disyaki menikam mati seorang wanita ditahan semalam selepas skuternya merempuh gajah liar ketika dia cuba melarikan diri, menurut polis.

Baca juga: IOIPG catat peningkatan hasil 16 peratus kepada RM1.13 bilion suku pertama FY2027

Suspek berusia 49 tahun itu didakwa menikam wanita berkenaan di rumahnya di daerah Anuradhapura, utara Sri Lanka, kata seorang pegawai polis kepada AFP.

Bagaimanapun, cubaan lelaki itu melarikan diri gagal apabila skuternya merempuh gajah liar yang muncul dari kawasan hutan ke jalan raya, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Saksi memberitahu polis bahawa gajah berkenaan kelihatan tidak mengalami kecederaan sebelum kembali masuk semula ke dalam hutan.

Suspek kemudian ditahan dan kini menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang tidak diperincikan dengan kawalan bersenjata oleh pihak polis.

Polis turut memaklumkan bahawa senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian pembunuhan itu sudah ditemukan.

Pertembungan antara manusia dan gajah kerap berlaku di Sri Lanka berikutan pembangunan kawasan penempatan dan ladang yang semakin meluas sehingga bertindih dengan habitat haiwan berkenaan.

Sri Lanka merekodkan purata kira-kira 400 kematian gajah dan 150 kematian manusia setiap tahun sepanjang lima tahun lalu, menurut statistik rasmi.

Negara itu menjadi habitat kepada kira-kira 7,000 gajah liar dan mengiktiraf haiwan berkenaan sebagai khazanah negara yang dilindungi undang-undang.

Bagaimanapun, penduduk di kampung terpencil kadangkala bertindak menyerang gajah yang merosakkan tanaman mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news