sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Ilmuwan, pemimpin wajar beri prhatian terhadap ‘kepincangan ilmu’ – Sultan Nazrin
Kuala Lumpur: Pengendali DPMM FC, James McAllister memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak terbuai dengan prestasi cemerlang selepas merekodkan kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super susulan kejayaan membelasah Kelantan Red Warrior (KRW) 5–0 di laman sendiri, semalam.
Tegasnya, meskipun kemenangan bergaya itu melonjakkan pasukan ke kelompok tiga teratas serta menyamai kutipan mata Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) namun mereka perlu segera berpijak di bumi nyata menjelang pertemuan sukar menentang skuad Gergasi Merah itu selepas ini.
“Untuk memenangi lima perlawanan berturut-turut dalam mana-mana liga adalah satu pencapaian yang hebat. Namun, kami tidak mahu leka dengan pencapaian ini kerana kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya menentang SFC.
“Ia adalah perlawanan yang sukar menentang SFC, jadi kami akan menonton perlawanan mereka menentang Sabah FC dan melihat bagaimana prestasi mereka. Mereka adalah pasukan atasan, jadi ia pasti menjadi perlawanan yang sengit,” katanya.
Mengulas lanjut aksi menentang KRW, beliau menyifatkan disiplin tinggi serta corak serangan agresif sejak wisel permulaan menjadi kunci kejayaan pasukannya meledak empat gol pada separuh masa pertama, sekali gus menyekat keyakinan lawan yang sebelum ini menewaskan Sabah FC.
Bagaimanapun, jurulatih itu tetap menuntut peningkatan ketara di bahagian penyudah apabila melihat banyak peluang keemasan disia-siakan pada separuh masa kedua yang sepatutnya mampu menghasilkan kemenangan lebih besar.
“Jelas sekali mereka meraih kemenangan pertama mereka ketika menentang Sabah FC, jadi mereka mendapat keyakinan daripada perlawanan itu tetapi saya meminta pemain supaya tidak mengenal erti penat lelah, bersikap profesional dalam persembahan kami dan menghormati pihak lawan.
” Saya rasa kami berjaya melakukannya dan saya rasa kami sangat agresif di bahagian serangan. Kami dapat menjaringkan empat gol yang menakjubkan pada separuh masa pertama dan mendominasi permainan.
“Pada separuh masa kedua, kami cuba mencari lebih banyak gol dan kami mempunyai begitu banyak peluang. Sepatutnya boleh jadi tujuh atau lapan gol tetapi kami tidak cukup tajam di depan gawang pada separuh masa kedua,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd