LATEST

Korea Selatan terima 306 aduan penipuan peperiksaan dalam seminggu

Korea Selatan terima 306 aduan penipuan peperiksaan dalam seminggu

SEOUL: Kementerian Pendidikan Korea Selatan menerima 306 laporan berhubung dakwaan penipuan dalam tempoh seminggu selepas peperiksaan kemasukan kolej kebangsaan (Suneung) yang berlangsung pada 19 November lalu.

Jumlah laporan itu diterima susulan tawaran ganjaran sekurang-kurangnya 100 juta won (RM308,475) bagi setiap kes penipuan yang disahkan, seperti diumumkan Presiden Lee Jae Myung.

Baca juga: Banjir kilat di Manjoi terburuk dalam tempoh lebih sedekad – Penduduk

Menurut laporan Chosun Ilbo, kementerian berkenaan sedang meneliti semua aduan itu, namun belum mengesahkan sebarang kesalahan setakat ini.

Sebahagian laporan dipercayai hanya berasaskan khabar angin, manakala yang lain didakwa bertujuan memburukkan reputasi individu tertentu.

Laporan itu memetik data yang diperoleh daripada Ahli Parlimen Parti Kuasa Rakyat (PPP), Kim Hee-jung, yang juga anggota Jawatankuasa Pendidikan Dewan Negara.

Peperiksaan Suneung, yang dianggap antara peperiksaan paling penting di Korea Selatan, berlangsung dengan kawalan lebih ketat tahun ini susulan kebimbangan berlaku penipuan menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI).

Beberapa peraturan dan sekatan baharu turut diperkenalkan sehingga sehari sebelum peperiksaan berlangsung.

Dalam langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini, kerajaan mengaktifkan sistem amaran bencana tahap tertinggi negara dengan menghantar notifikasi kecemasan ke telefon bimbit di seluruh negara sebanyak tiga kali pada hari peperiksaan.

Notifikasi itu tidak boleh dinyahaktifkan dan akan berbunyi pada tahap maksimum walaupun telefon ditetapkan dalam mod senyap.

Langkah itu bertujuan mengesan calon yang gagal menyerahkan telefon bimbit masing-masing sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Membawa peranti pintar ke dalam dewan peperiksaan merupakan satu kesalahan, manakala kementerian mengklasifikasikan penggunaannya ketika peperiksaan berlangsung sebagai pelanggaran serius.

Dalam laporan berasingan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Pendidikan Dewan Negara semalam, kementerian itu merekodkan sebanyak 474 kes pelanggaran peraturan dalam peperiksaan tahun ini, meningkat berbanding 279 kes pada tahun lalu.

Kesalahan membabitkan penggunaan peranti pintar meningkat lebih tiga kali ganda daripada 31 kes kepada 112 kes.

The post Korea Selatan terima 306 aduan penipuan peperiksaan dalam seminggu appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news