PASIR GUDANG – Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota tentera yang terbabit dalam kes dadah membabitkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malah memastikan siasatan dijalankan hingga ke akar umbi termasuk mengesan dalang sebenar sindiket berkenaan.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana anggota yang terlibat dan bersedia menyerahkan mereka kepada polis untuk tindakan undang-undang walaupun berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.”Ini bukan satu sindiket yang TUDM buat. Dia menjadi alat kepada satu sindiket dan kita berharap supaya pihak polis dapat tangkap dalang yang sebenar. Sebab kita dah bagi jalan melalui semua maklumat yang diberi oleh anggota tentera yang ditahan ini.”Saya tak ada nak pertahankan sesiapa. Atas sebab itulah kita tangkap, serah polis, biar polis siasat, kita pergi sampai ke lubang cacing,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kerjasama Awam-Tentera atau Civil-Military Cooperation (CIMIC) di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang, di sini, pada Sabtu.Mohamed Khaled memberitahu, setakat ini lapan anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan, membabitkan enam pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat.Daripada jumlah itu, tiga sudah dihadapkan ke mahkamah, manakala pihak polis dijangka melakukan lebih banyak tangkapan bagi melengkapkan siasatan.Sementara itu, MohamedKhaled berkata, TUDM sudah menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti semula semua prosedur operasi standard (SOP) susulan kes berkenaan.Katanya, kementerian juga akan mempertimbangkan siasatan dalaman terhadap anggota yang tidak didakwa atau dilepaskan polis bagi menentukan sama ada mereka wajar terus berkhidmat dalam ATM.Beliau menegaskan tindakan tegas perlu diambil kerana salah laku sedemikian bukan sahaja boleh merosakkan imej pasukan keselamatan, malah menjejaskan usaha negara mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.Pada Jumaat, media melaporkan tiga pegawai TUDM bersama tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 96.2 kilogram (kg) di Pangkalan Udara Subang, pada 17 November lalu.
Anggota tentera seludup dadah: Tiada kompromi, siasat hingga lubang cacing – Khaled
Malay News | https://www.malay.news/anggota-tentera-seludup-dadah-tiada-kompromi-siasat-hingga-lubang-cacing-khaled/