106 pemain dari 16 negara sertai US Kids Golf Malaysian Championship 2024

106 pemain dari 16 negara sertai US Kids Golf Malaysian Championship 2024

SHAH ALAM: Seramai 106 pemain kanak-kanak dan remaja dari 16 buah negara akan menyertai kejohanan US Kids Golf Malaysian Championship 2024 pada 5 hingga 7 Mac ini.

Mereka akan berkampung di Kelab Golf Glenmarie selama tiga hari itu untuk merebut slot ke kejohanan dunia di Pinehurst, Utara Carolina Julai depan.

Pengarah Eksekutif Sports Excel C. Sivanandan berkata, pemain perlu mendapatkan skor 140 ke bawah dalam dua pusingan bagi melayakkan mereka beraksi di kejohanan dunia.

Katanya, kejohanan yang diadakan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bertujuan untuk mencungkil bakat pemain muda selain memberi peluang kepada mereka untuk merebut tiket ke AS.

“Seramai 106 peserta berusia antara lima hingga 18 tahun. Daripada jumlah itu, 37 daripadanya adalah pemain tempatan.

“Ia merupakan pembangunan akar umbi sukan golf Malaysia. Ia dapat menggalakkan pemain muda ke luar negara untuk bertanding supaya boleh mendapatkan biasiswa sukan daripada AS bagi menampung karier dan akademik mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran Mazda, Rekha Shan; Ketua Eksekutif Perbadanan Padang Golf Subang, Megat Mohd. Shahrin, wakil Persatuan Golf Malaysia (MGA), Sara Ismail dan Jawatankuasa Penganjur Publisiti, Nor Afendi Mohd. Razlan.

Menurut Sivanandan, kejohanan US Kids Golf Malaysian Championship 2024 yang mendapat penajaan utama daripada Mazda merupakan pusingan akhir bagi jelajah tempatan US Kids Golf Malaysian Championship 2023 bermula 31 Oktober hingga 2 Disember tahun lalu.

Tambahnya, kejohanan itu juga ibarat mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana ia melibatkan ibu bapa yang akan menemani mereka di atas padang sama ada bertindak sebagai penyokong atau kedi.

Antara negara yang menghantar wakil termasuk Korea (17), Indonesia (12), India (7), China (6), AS (6), SIngapura (5), Thailand (4), Australia (3), Jepun (2) dan Filipina (2). – UTUSAN

Scroll to Top