11 bahagian BERSATU Johor umum bubar

11 bahagian BERSATU Johor umum bubar

am@hmetro.com.my

Kluang: 11 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Johor hari ini mengumumkan pembubaran susulan kemelut dalaman yang melanda parti itu ketika ini.

Kesemua bahagian BERSATU negeri itu adalah Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Pulai.

Pengumuman itu dibuat wakil ketua-ketua bahagian negeri diketuai Ketua Bahagian Pontian, Datuk Isa Abdul Hamid, susulan krisis kepimpinan parti yang didakwa semakin meruncing dan gagal ditangani secara berhemah oleh pucuk pimpinan.

Menurut Isa, pembubaran bahagian berlaku apabila lebih separuh jawatankuasa bahagian meletakkan jawatan sekali gus menyebabkan struktur kepimpinan bahagian tidak lagi dapat berfungsi.

“Kami amat kasih dan sayang kepada parti ini, namun di persimpangan ini kami terpaksa membuat keputusan berani dan bermaruah demi perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Krisis kepimpinan yang berlarutan, termasuk pemecatan pemimpin kanan dan Ahli Parlimen, menyebabkan hala tuju parti semakin kabur serta kepercayaan ahli dan pengundi terhakis.

“Selain itu, ketidakupayaan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyatukan ketua-ketua si peringkat bahagian membuatkan kami hilang kepercayaan bersama parti lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri kira-kira 100 ahli termasuk Ketua Bahagian BERSATU negeri di Simpang Renggam di sini hari ini.

Isa berkata, dua bahagian iaitu Mersing dan Labis menghantar surat rasmi pembubaran bahagian masing-masing kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali manakala bahagian lain dalam masa terdekat.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi bahagian akan mengikuti jejak langkah 11 bahagian itu mengumumkan pembubaran sama.

Sementara itu, bekas Ketua Bahagian BERSATU Johor Bahru, Datuk Zulkifli Bujang yang dipecat parti ketika diminta mengulas mengenai mengenai hala tuju selepas ini menjelaskan bahawa kumpulan berkenaan tidak akan bergerak secara individu sebaliknya akan membuat keputusan secara konsensus sekiranya menerima sebarang tawaran daripada parti lain.

“Kami tidak bergerak bersendirian. Apa juga keputusan selepas ini akan dibuat secara bersama. Perjuangan kami tetap sama, cuma platform mungkin berbeza,” katanya.

Terdahulu, BERSATU dilaporkan memecat

17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Hamzah, 16 pemimpin BERSATU dipecat mungkin tak sertai PAS

‘Hamzah dipecat kerana sikap tak sabar ketuai BERSATU’

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top