Nabila Huda rancang kelainan Datuk Anees

Nabila Huda rancang kelainan Datuk Anees

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : “Saya dah benci!”.

Itu reaksi bersahaja pelakon, Nabila Huda, dalam nada berseloroh mengenai penampilan terbaharu dengan rambutnya yang berwarna perang.

Meskipun imej itu menerima pujian dan disukai peminat, pemilik nama sebenar Nabila Huda Suhaimi, 42, ini mengakui berasa pelik dan tidak sabar untuk mengembalikan warna asal rambutnya.

Menurut Nabila yang mesra disapa Abil, perubahan imej itu dilakukan demi menjayakan watak sebagai Datuk Anees dalam drama bersiri Viu Originals berjudul Cela.

“Orang suka dengan penampilan ini, tapi saya dah tak suka, saya dah benci. Saya tengok muka dekat cermin macam ‘eh aku benci tengok rambut aku, nak cepat warnakan balik rambut hitam’.

“Saya dah tak sabar nak warna rambut balik. Mungkin orang dah lama tak tengok rambut saya warna begini, jadi mereka rasa ia satu perubahan yang besar.

“Tapi sayang, saya tak boleh nak kekalkan rambut ini untuk naskhah lain sebab ia memang eksklusif untuk satu watak ini saja,” katanya.

Abil ketika ditemui di penggambaran drama berkenaan berkata, dia sendiri yang merancang penampilan Datuk Anees demi memberikan kelainan kepada penonton.

“Untuk karakter Datuk Anees ini saya nak kelainan sebab sebelum ini banyak karakter saya berambut hitam. Saya nak nampak lain tapi mahu ia kelihatan ‘subtle’ dan tidak terlalu menyerlah.

“Saya tak nak nampak dia terlalu gaya ‘Datuk’ yang biasa. Jadi, saya bayangkan dia seorang wanita berusia yang rambutnya sudah beruban, lalu diwarnakan jadi ‘blonde’.

“Dia kelihatan ‘vogue’ dan masih nampak muda walaupun sudah berusia. Penampilan ini saya rancang sendiri dengan persetujuan daripada pengarah dan juga penerbit,” katanya.

Selain Nabila, drama arahan Feroz Kader yang akan ditayangkan pada Ogos ini turut dibintangi Datuk Seri Eizlan Yusof, Hun Haqeem, Zarif Ghazzi dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top