Arfie Shah selesa solo, tumpu karier

Arfie Shah selesa solo, tumpu karier

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Arfie Shah selesa memegang status solo sejak tujuh tahun lalu demi memberikan fokus sepenuhnya terhadap kerjaya seni yang sedang melonjak naik.

Arfie atau nama sebenarnya, Ad Wafri Shaharuddin, 33, berkata, tempoh hidup menyendiri tanpa kekasih tidak pernah membuatkan dia berasa kekok, malah menganggap ia sebagai satu proses untuk membahagiakan diri sendiri terlebih dahulu.

“Sebenarnya jadi ‘single’ ini ‘best’. Pendirian saya mudah, dalam hidup ini kita kena bahagiakan diri kita tanpa memerlukan sesiapa. Apabila kita sudah bahagia dengan diri sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain, fokus kita terhadap kerja akan jadi lebih tinggi.

“Jadi, bila kita jumpa pasangan yang tahu membahagiakan diri mereka, barulah kedua-duanya boleh bahagia,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Tambah Arfie, dia enggan meletakkan kebergantungan emosi terhadap manusia kerana menyedari segala yang dimiliki di dunia ini hanyalah pinjaman.

“Kita tidak boleh bergantung dengan sesiapa sebab semua benda ini pinjaman, termasuklah kekasih, keluarga dan rezeki. Memanglah sedih kalau kehilangan, tapi kita kena cari jalan untuk gembira tanpa mengharapkan apa-apa daripada orang lain,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, pelakon drama Keluarga Itu menganggap perkara berkenaan sebagai rezeki dan enggan terburu-buru mencari bakal isteri.

“Sama macam kerjaya, soal jodoh ini adalah konsep rezeki. Saya tidak mencari, tapi tipulah kalau kata keinginan untuk berumah tangga itu tiada.

“Bagi saya, lebih baik lambat asalkan bertemu dengan orang yang betul, daripada kita terburu-buru memaksa diri menerima seseorang yang akhirnya bukan ditakdirkan untuk kita,” katanya lagi.

Disebabkan terlalu fokus kepada kerjaya, Arfie mengakui itu menjadi punca utama mengapa dia langsung tidak berusaha memburu cinta selain merasakan masih banyak impian yang belum berjaya dicapainya.

Meskipun sudah tujuh tahun hidup membujang, Arfie tidak menafikan ada pihak yang cuba mendekati dirinya untuk menjalinkan hubungan. Namun, kekangan masa membuatkan dia terpaksa menutup pintu hatinya buat sementara waktu.

“Memang ada yang cuba mendekat. Tapi dengan masa yang saya ada sekarang, saya tahu saya tidak mampu untuk memberikan komitmen. Jadi, tidak adil untuk saya memberi harapan kepada dia,” kongsinya.

Mengenai ciri-ciri wanita idaman pula, Arfie menegaskan dia bersikap terbuka dan tidak menetapkan syarat untuk memilih pasangan daripada industri yang sama.

“Saya tidak kisah sesiapa pun, sama ada orang industri atau luar. Paling penting, wanita itu mestilah seorang yang boleh memahami kerjaya saya sebagai seorang pelakon,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top