Zhengzhou: Seorang wanita berusia 31 tahun di tengah China mengalami masalah keseimbangan dan kesukaran berjalan yang serius selepas dilaporkan hanya minum air selama 15 hari dalam cubaan ekstrem untuk menguruskan badan.
Wanita dari wilayah Henan itu mempunyai ketinggian kira-kira 160 sentimeter (cm) dan berat 70 kilogram (kg) sebelum memulakan puasa berkenaan. Dia kehilangan kira-kira 20 kg dalam tempoh beberapa minggu selepas mengehadkan pengambilan makanan secara drastik, lapor South China Morning Post.
Dia kemudian dibawa ke hospital selepas mengalami pelbagai gejala neurologi termasuk kekeliruan, masalah ingatan, kesukaran menggerakkan mata dan masalah keseimbangan yang teruk.
Doktor di Hospital Afiliasi Pertama Universiti Zhengzhou mengesahkan dia menghidap ensefalopati Wernicke, iaitu gangguan neurologi yang boleh mengancam nyawa akibat kekurangan vitamin B1 (thiamine) dan kekurangan zat makanan yang teruk.
Pakar neurologi Sun Guifang yang merawat wanita itu berkata, gaya berjalannya berubah dan menyerupai gaya berjalan penguin. Beliau memberi amaran bahawa masalah berkenaan boleh berterusan walaupun selepas menerima rawatan.
Wanita itu dilaporkan memberitahu doktor bahawa dia mengamalkan ‘bigu’, iaitu amalan purba Taoisme yang secara tradisinya membabitkan tindakan berpantang daripada makan bijirin dan dalam tafsiran moden tertentu, tidak mengambil makanan langsung.
Pengikut amalan itu percaya tubuh mampu bertahan menerusi qi atau tenaga hayat. Amalan berkenaan kembali mendapat perhatian di media sosial China dengan beberapa pengguna mempromosikan puasa ekstrem sebagai cara untuk menguruskan badan atau menyahtoksin badan.
Beberapa hantaran turut memaparkan individu yang hanya mengambil air dan makanan tambahan untuk tempoh yang panjang. Bagaimanapun, pakar perubatan berulang kali memberi amaran mengenai bahaya mengamalkan puasa air berpanjangan tanpa pengawasan perubatan.
Pengambilan makanan yang dikurangkan secara berlebihan boleh menyebabkan tubuh kekurangan vitamin dan mineral penting. Dalam kes ekstrem, keadaan itu boleh mengakibatkan kerosakan neurologi, gangguan elektrolit dan komplikasi lain yang boleh membawa maut.
Pada 2020, seorang lelaki berusia 26 tahun di wilayah Heilongjiang dilaporkan meninggal dunia selepas hanya minum air selama 52 hari. Dia turut mengalami gejala seakan-akan demensia sebelum kematiannya.
Baru-baru ini, seorang wanita di wilayah Zhejiang dilaporkan kehilangan kira-kira 5 kg selepas berpuasa selama seminggu sambil mengambil ‘pil tenaga’.
Dia kemudian mengalami kerosakan usus yang teruk, jangkitan aliran darah dan paras kalium pada tahap yang sangat rendah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




