Dungun: Sebelas kenderaan musnah dan rosak dalam kebakaran di kawasan parkir Jeti Awam Pulau Tenggol di Jalan Rajawali di sini tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun TPgB II Yahaya Hanafi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.14 tengah hari.
Beliau berkata setibanya di lokasi anggota mendapati kebakaran melibatkan 11 kereta yang diletakkan di kawasan parkir jeti berkenaan.
“Api memusnahkan kira-kira 90 peratus sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi ASX, manakala sembilan kenderaan lain hanya terbakar kira-kira satu peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara kenderaan lain yang mengalami kerosakan termasuk SUV jenis Proton S70, Toyota Corolla Cross, Proton Saga, Nissan Almera dan Honda Civic.
Yahaya berkata api berjaya dikawal pada 12.32 tengah hari dan kerja pemadaman tamat sepenuhnya pada 3.15 petang melibatkan enam anggota dari BBP Dungun bersama bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender dan sebuah kenderaan utiliti.
“Anggota menggunakan satu aliran hos sepanjang 60.96 meter, satu pancutan foam dan bekalan air daripada tangki jentera bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman,” katanya.
Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
