mukhriz.husin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tempoh penangguhan sementara bagi operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) di Sarawak bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan rasmi pihak berkuasa.
KKM dalam kenyataan berkata, operasi itu hanya disambung semula selepas pihaknya berpuas hati secara mutlak terhadap tahap keselamatan operasi dan sistem penyampaian berkenaan.
Katanya, penangguhan itu membabitkan tujuh pasukan yang memberi liputan kepada 85 lokaliti, dengan anggaran populasi sekitar 14,830 orang penduduk di kawasan pedalaman.
“KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada agensi berkaitan bagi memastikan siasatan insiden ini dapat dilengkapkan secara menyeluruh.
“KKM akan memastikan semua petugas kesihatan yang terbabitdalam pasukan FDS akan terus dilindungi berdasarkan peraturan dan polisi yang terpakai kepada penjawat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan operasi FDS di Sarawak ditangguhkan sementara berikutan insiden nahas membabitkan sebuah helikopter yang digunakan bagi perkhidmatan itu di Long Lellang, Selasa lalu.
Dalam tragedi kira-kira jam 3.40 petang kesemua lima individu menaiki helikopter BO-105 dikendalikan Layang-Layang Aerospace itu terkorban selepas terhempas berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang.
KKM menjelaskan sedang melaksanakan audit menyeluruh dengan meneliti semula pemetaan lokasi perkhidmatan, tahap pematuhan standard syarikat pengendali, serta keperluan sokongan psikososial kepada petugas.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen KKM untuk memastikan kesinambungan akses kesihatan dipelihara melalui keputusan yang berasaskan risiko, berfasa dan berakauntabiliti, tanpa berkompromi terhadap keselamatan petugas dan pesakit.
“Ia selaras dengan prinsip kebolehcapaian, ekuiti dan Liputan Kesihatan Sejagat (UHC),” katanya.
KKM berkata, pihaknya sedang menilai semula program perkhidmatan kesihatan ke setiap lokaliti berdasarkan tahap kebolehcapaian dan keadaan setempat.
Sebagai langkah alternatif, kementerian memaksimumkan penggunaan pengangkutan melalui jalan darat dan air bagi memastikan kesinambungan rawatan kepada penduduk di kawasan terbabit.
“Bagaimanapun, kaedah alternatif ini hanya akan dilaksanakan selepas proses penilaian risiko merangkumi keadaan laluan, tempoh perjalanan, faktor cuaca dan kesesuaian kenderaan didapati selamat untuk digunakan petugas,” katanya.
Bagi lokaliti yang berdepan kekangan akses geografi dan infrastruktur yang ketara, KKM turut melaksanakan penyelarasan logistik khusus, termasuk bagi Pa Tik yang memerlukan perjalanan berjalan kaki sehingga dua hari dari Klinik Kesihatan Bario.
“Turut terjejas adalah Ba Itam, Ba Abang, dan Long Tebangan yang menuntut perjalanan empat hingga 10 jam dari Klinik Kesihatan Long Bedian susulan laluan yang terputus dan keadaan jambatan runtuh.
“Bagi kawasan-kawasan berisiko tinggi ini, serta untuk keperluan Pemindahan Perubatan kecemasan (MEDEVAC), KKM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti mana yang telah pun dimaklumkan sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
