puterialia@hmetro.com.my
Menutup tirai Oktober lalu, Konsert Muzik D.R.A.S membuktikan empat kumpulan pop rock terkenal Indonesia iaitu Dadali, Repvblik, Armada dan Samsons berjaya mengubati kerinduan peminat tempatan.
Konsert itu bukan sekadar menggamit memori indah, malah membawa peminat menyelami semula perjalanan seni keempat-empat kumpulan berkenaan yang sudah bertapak lebih dua dekad.
Tarikan lagu-lagu bertema patah hati dan cinta secara tidak langsung menyentuh emosi penonton menunjukkan keutuhan pengaruh muzik nusantara dibawakan mereka terus bertapak kukuh di hati peminat.
Tirai persembahan di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada malam itu dibuka oleh kumpulan Dadali dengan aksi yang cukup memukau.
Dianggotai Dyrga (vokalis), Rickarjd (gitaris), Boim (gitaris), Hendy (bass), Dendi (keyboard) dan Obot Zivilia (dram), karya-karya kumpulan itu terus mendapat sambutan hangat.
Dyrga mengakui teruja apabila dapat kembali beraksi di Malaysia selepas sekian lama tidak menemui peminat di negara ini.
Antara lagu popular yang didendangkan Dadali ialah Cinta Yang Tersakiti, Cinta Bersemi Kembali, Mendua, Disaat Patah Hati, Disaat Sendiri, Disaat Aku Pergi dan Disaat Aku Tersakiti.
Suasana ruang Idea Live Arena bertambah bingit apabila lagu kegemaran ramai iaitu Disaat Aku Mencintaimu didendangkan dengan penonton turut menyanyi bersama-sama.
Persembahan kemudian diteruskan dengan kemunculan kumpulan Repvblik yang berjaya mewujudkan suasana nostalgia di segenap ruang dewan.
Vokalisnya, Ruri Herdian bersama Lavy (bass), Tyar (keyboard) dan Ei (gitar utama) tampil bertenaga membawakan deretan lagu hit mereka.
“Khabar baik semuanya? Terima kasih untuk kalian yang sudi hadir. Aku restu kalian semua yang datang ke sini. Malam ini kita kasi persembahan yang terbaik untuk kalian, semoga semuanya ‘enjoy’. Kita bikin bintang-bintang di sini ya, bersinar seperti kalian semua yang ada di sini,” kata Ruri menyapa peminat.
Repvblik yang ditubuhkan pada 2004 turut membawa kelainan dalam persembahan mereka apabila menampilkan pemain saksofon di atas pentas.
Bukan hanya itu, mereka turut mempersembahkan lagu popular Selimut Tetangga dalam susunan muzik berentak reggae.
Antara lagu lain yang turut dipersembahkan termasuklah Tlah Kuberikan, Aku Tetap Cinta, Sakit Aku Sakit, Hanya Ingin Kau Tahu, Aku Takut dan Sandiwara Cinta.
Giliran Samsons yang dianggotai Adrian (vokalis), Irfan (gitaris utama), Erik (gitaris) dan Aldri (pemain bass) pula mengambil alih pentas.
“Seronok dapat kembali. Adakah yang sebelum ini datang ke konsert Samsons? Ini pemanasan semuanya duduk, nanti tunggu waktunya saya akan minta teman-teman untuk berdiri,” kata Adrian kepada peminat.
Samsons mengambil peluang untuk mempersembahkan lagu Kisah Tak Sempurna, Akhir Rasa Ini, Kecanduan, Tak Bisa Memiliki, Di Ujung Jalan, Luluh serta lagu wajib iaitu Kenangan Terindah.
Sementara itu, kumpulan Armada tampil sebagai penutup persembahan menerusi barisan anggotanya iaitu Rizal (vokalis), Mai (gitar) dan Andit (dram).
Kumpulan Armada terus menghiburkan ribuan peminat yang hadir menerusi persembahan bertenaga menerusi barisan lagu hit mereka seperti Asal Kau Bahagia, Buka Hatimu, Harusnya Aku, Bebaskan Diriku, Mabuk Cinta dan Pergi Pagi Pulang Pagi.
Sebagai penutup, seluruh penonton diminta berdiri menyanyikan lagu Mau Dibawa Ke Mana bersama-sama vokalis kumpulan Dadali, Repvblik dan Samsons.
“Ini lagu terakhir daripada kami. Kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang, semoga kita berjumpa lagi. Terima kasih sudah hadir,” laung Rizal.
Kemunculan gabungan empat gergasi muzik Indonesia itu membuktikan bahawa lagu-lagu pop rock alunan Dadali, Repvblik, Samsons dan Armada tidak pernah luput ditelan zaman.
Meskipun sebahagian besar karya hit berkenaan dilancarkan lebih dua dekad lalu, setiap baris lirik dan melodi yang dipersembahkan masih sebati dalam jiwa penonton pelbagai generasi.
Sorakan gemuruh serta nyanyian beramai-ramai sepanjang konsert berlangsung menjadi bukti kukuh bahawa penerimaan peminat tempatan terhadap karya mereka kekal relevan dan segar sehingga ke hari ini.
Konsert Muzik D.R.A.S anjuran Star Planet dan KH Worldwide ini menjadi penanda aras bahawa karya muzik yang berkualiti serta sarat emosi akan sentiasa mempunyai tempat di jiwa pendengar tanpa mengira usia dan garis masa.
© New Straits Times Press (M) Bhd