LATEST

Polis tahan lelaki bantu siasatan kes rogol anak saudara, suspek ada 11 rekod lampau

Polis tahan lelaki bantu siasatan kes rogol anak saudara, suspek ada 11 rekod lampau

am@hmetro.com.my

Besut : Polis menahan seorang lelaki di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan anak saudara perempuannya berusia 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan remaja itu pada hari sama.

Berikutan itu, katanya, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang juga bapa saudara mangsa, pada jam 2.45 petang di rumahnya di sini.

“Saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek turut mempunyai 11 rekod lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa bertindak mengadu kejadian itu kepada ahli keluarganya sebelum laporan polis dibuat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk jenayah seksual yang membabitkan kanak-kanak.

“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan anak-anak serta segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku sebarang bentuk penderaan atau gangguan seksual,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news