mhafis@mediaprima.com.my
Jeram: Hujan lebat berterusan menyebabkan penduduk tiga kampung berdepan detik cemas apabila air naik mendadak dalam tempoh kira-kira 30 minit sehingga memasuki kediaman mereka.
Penduduk Kampung Bukit Hijau, Asmidah Zailani, 38, berkata, hujan bermula jam 5 petang Khamis lalu sebelum masuk ke dalam rumah kira-kira jam 5.30 petang.
Menurutnya, keadaan berlaku terlalu pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah, termasuk peti sejuk dan buku sekolah anak.
“Air datang terlalu cepat, dalam masa kira-kira 30 minit sahaja sudah masuk ke dalam rumah. Kami tidak sempat mengangkat barang kerana air naik mendadak.
“Rumah kami rumah setingkat, jadi bimbang air semakin naik menyebabkan saya sekeluarga berpindah ke PPS (Pusat Penempatan Sementara) Sekolah Kebangsaan Dato Maharaja Lela.
“Keadaan banjir kali ini mengingatkan saya kepada kejadian pada 2021 yang turut menyebabkan kawasan ini dilanda banjir teruk,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Dato Maharaja Lela hari ini.
Katanya, dia ada pulang ke rumah untuk mencuci sedikit rumahnya yang dipenuhi lumpur selepas air surut namun belum berani tinggal di rumah kerana bimbang air naik semula.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Bukit Hijau, Mohd Nazry Mohd Zaman, 40, berkata, kejadian itu pengalaman pertama buatnya apabila rumah yang baru diduduki sejak dua tahun lalu dimasuki air banjir.
Katanya, hujan lebat bermula sekitar jam 4.30 petang sebelum air memasuki rumahnya, meskipun sebelum ini kediaman berkenaan tidak pernah dinaiki air.
“Sebelum ini, kawasan rumah seperti sebuah pulau kerana air tidak pernah masuk ke dalam rumah. Tahun lalu pun banjir, tetapi tidak sampai memasuki kediaman.
“Kali ini, air masuk sehingga paras buku lali di dalam rumah, manakala kawasan luar lebih tinggi,” katanya yang tinggal bersendirian dan bekerja di Puncak Alam .
Menurutnya, antara barangan yang terjejas adalah perabot dan peralatan elektrik, namun jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.
“Keadaan lebih menyedihkan apabila lumpur tebal memenuhi kediaman rumah dan mengambil masa untuk mencuci,” katanya.
Katanya, enam keluarga di kawasan berkenaan turut berpindah bagi mengelakkan risiko banjir, manakala bantuan makanan setakat ini mencukupi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Bukit Kuching Tengah, Mohd Subri Safar Mohd berkata, PPS di sini menempatkan penduduk dari tiga kampung iaitu Kampung Bukit Kuching Tengah, Kampung Bukit Hijau dan Kampung Bukit Cherakah yang terjejas akibat banjir.
“Penduduk mula ditempatkan di PPS berkenaan sejak Khamis lalu, kira-kira jam 7.35 malam, susulan hujan lebat berterusan.
“Kadaan hujan yang tidak berhenti menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.
Menurutnya, setakat jam 3 petang tadi seramai 72 keluarga membabitkan 235 mangsa ditempatkan di PPS ini.
“Pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan seperti toto, selimut dan barangan keperluan lain termasuk makanan.
“Sumbangan yang diterima termasuk dari Yaysan MBI Selangor, Yayasan Sime Darby, Tijari- tabung infak jariah umat islam (Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor) dan MCD Malaysia,” katanya.
Terdahulu wartawan dibawa ke lokasi banjir bersama Sukarelawan Persatuan Pacuan Empat Roda Selangor dan Team CDA 10 MYVE Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang membantu mangsa banjir.
© New Straits Times Press (M) Bhd