LATEST

Uji Rashid akui sukar terima kematian Cico

Uji Rashid akui sukar terima kematian Cico

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Ampang: Artis legenda, Uji Rashid akur dengan pemergian anak lelaki kesayangannya, Cico Harahap di Hospital Ampang, di sini, hari ini.

Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al Rashid, 73, berkata, dia mulanya sukar menerima berita sedih yang amat mengejutkan ini.

“Saya bercakap dengan rakan-rakan dan saudara mara perkara ini yang saya masih tidak dapat menerimanya.

“Tetapi mereka berkata, jangan begitu kerana kita terpaksa relakan, reda dia pergi. Itu pinjaman Tuhan. Jadi saya ingat balik ketentuan itu.

“Dan saya berkata, okey mudah-mudahan Tuhan ampunkan dosa-dosa dia, selamatkan dia, letakkan dia di tempat yang dipilih Itu sahajalah yang saya harapkan,” katanya.

Uji yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, kelihatan agak sedih, namun pada masa sama meminta agar tiada mana-mana pihak menyebarkan spekulasi terhadap kematian Cico.

“Jangan seperti dulu. Dia kena macam-macam andaian. Saya tidak mahu. Saya minta semua orang doakan sahaja kerana kita pun akan pergi.

“Seperti saya juga., Bila saya pergi selepas ini, mudah-mudahan orang doakan yang baik-baik. Janganlah bercakap macam-macam. Saya sudah dengar macam-macam cerita tentang saya,” katanya.

Terdahulu Cico atau Ezzaq Farouk Harahap, 48, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, sekitar jam 11 pagi.

Uji berkata, anaknya sudah hampir 11 tahun tidak sihat kerana mengalami jangkitan dalam badan.

“Dia sudah sakit selama 11 tahun. Tapi kebelakangan ini dia sihat dan boleh pergi gim empat kali seminggu.

“Minggu lepas dia dah mula sakit. Dia sebelum ini dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi) sebab sesak nafas dan selepas itu dipindahkan ke wad biasa,” katanya.

Mengimbas kenangan antara mereka, Uji berkata, dia sering teringatkan gurauan Cico yang memberitahu dia lebih berusia berbanding ibunya.

“Kami memang tidak pernah berjauhan sejak dia dilahirkan. Dia selalu bergurau beritahu saya lebih muda.

“Sebelum dimasukkan ke hospital saya sempat bantu dia berwuduk kerana dia tak mahu tinggal solat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news