LATEST
National

Nak kurus tanpa ‘cucuk’, pernahkan anda dengar mengenai MIMO

Nak kurus tanpa ‘cucuk’, pernahkan anda dengar mengenai MIMO

KUALA LUMPUR: Impikan tubuh lebih langsing tanpa suntikan mahal? Jawapannya mungkin ada pada pendekatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ramai rakyat Malaysia hari ini mengejar untuk mendapatkan tubuh yang sempurna tetapi tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk mengeluarkan kos alternatif yang tinggi dan membebankan.

Namun cara mudah itu dikongsi di platform Threads oleh seorang pakar perubatan yang mendedahkan, orang ramai sebenarnya boleh ke institusi kerajaan sendiri untuk menyertai intervensi gaya hidup sihat dan mencegah obesiti.

Menurut Dr Izuddin Rahman yang juga pegawai kesihatan di Klinik Etika Kota Bharu, KKM mempunyai program khas obesiti yang digelar sebagai MIMO atau Multidisciplinary Integrated Management of Obesity.

MIMO sudah ditempatkan di 33 klinik kesihatan di seluruh negara dengan program berkenaan diselia sendiri oleh pakar-pakar kesihatan awam negara.

“Ramai tak tahu, KKM ada program khas obesiti. Nama dia MIMO. Menteri sebut kat Parlimen awal bulan ini, program ini ada kat 33 klinik kesihatan, dengan sokongan pakar di 13 hospital.

“Sebab ramai tanya, MIMO adalah rawatan obesiti guna satu ‘team’. Bukan doktor seorang sahaja. KK Buntong di Ipoh contohnya dah mula klinik obesiti cara MIMO sejak Mei. Nak tahu KK korang ada ke tak, tanya terus,” katanya yang menggunakan alias @izuddinrahman di Threads.

Perkongsian Dr Izuddin meraih perhatian ribuan netizen yang mengetik tanda suka mencecah 2,800, lebih 500 perkongsian dan hampir 100 komen.

Lebih menarik perkongsian itu mula menarik ramai individu yang tidak pernah mengetahui kewujudan inisiatif berkenaan malah bersedia untuk mendaftar secara sukarela ke klinik berkenaan.

“Program ini sangat ‘best dan ‘supportive‘. Cuma kalau klinik itu buat hari Rabu, ada yang kerja,” kata @itss.me.who.

“Pernah sertai dekat KK Titiwangsa KL sebelum COVID dulu. Siap jumpa nutritionist pastu ke kelas latihan,” kata @embokkesum pula.

“Harap-harap klinik terdekat saya ada, Hari itu semua program di bawah KKM yang jauh,” kata @farrahhjaa.Idy.

Inisiatif MIMO dijalankan Cawangan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCDC) yang memberi penekanan kepada pengurusan pesakit secara holistik membabitkan pelbagai disiplin kesihatan termasuk intervensi klinikal, pemakanan, aktiviti fizikal serta sokongan perubahan tingkah laku.

Pendekatan ini menekankan pengurusan pesakit secara holistik merangkumi intervensi klinikal, pemakanan, aktiviti fizikal serta sokongan perubahan tingkah laku, memandangkan obesiti adalah antara faktor risiko utama bagi pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

Carian BH mendapati, klinik kesihatan yang menawarkan MIMO adalah KK Bandar Alor Setar, KK Bandar Sungai Petani, KK Jalan Angsana, KK Bandar Perda, KK Kelana Jaya, KK Rawang, KK Bandar Botanik, KK Bandar Seri Putra, KK Presint 18, KK Kuala Lumpur, KK Jasin, KK Batu Berendam, KK Masjid Tanah, KK Bandar Mentakab.

KK Bandar Kuantan, KK Bandar Pekan, KK Seberang Takir, KK Manir, KK Pengkalan Chepa, KK Tumpat, KK Putatan, KK Layang, KK Penampang, KK Kota Samarahan, KK Tudan, KK Petra Jaya, KK Sultan Ismail, KK Tampoi, KK Mengkibol, KK Buntong, KK Arau, KK Seremban dan KK Labuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news