am@hmetro.com.my
Sandakan: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan menerusi Operasi Bersepadu, Ops Poket, yang dilaksanakan di sekitar pusat bandar, pagi tadi.
Operasi yang dijalankan bermula 7.30 hingga 11 pagi itu turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan berkata, semua individu yang ditahan itu didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, ia termasuklah gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Selain itu, ada juga antara mereka yang dikenal pasti terbabit dalam pertubuhan haram yang tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd