11 rumah, 3 kenderaan hangus dalam kebakaran

11 rumah, 3 kenderaan hangus dalam kebakaran

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sebanyak 11 rumah setinggan dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Delima, Lorong 7, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, api marak dengan cepat memusnahkan lapan rumah tidak kekal dan tiga rumah separuh kekal.

Selain itu, tiga kenderaan turut terbakar iaitu pacuan empat roda Nissan Navara, Proton Waja dan motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, sepasukan 18 anggota bersama 10 anggota dari BBP Lintas digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 5.11 petang.

“Api berjaya dikawal pada jam 5.50 petang. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.40 malam.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Operasi turut dibantu tujuh anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), empat anggota RELA serta dua kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top