11 tahun hidup bersama, Noh Salleh & Mizz Nina mengaku dah bercerai

11 tahun hidup bersama, Noh Salleh & Mizz Nina mengaku dah bercerai

Penyanyi vokalis Hujan, Noh Salleh mengaku dirinya sudah bercerai talak satu dengan Mizz Nina menerusi sebuah hantaran di laman Instagramnya sebentar tadi.

Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 37,  memberitahu keputusan itu dibuat setelah mereka berdua duduk berbincang dan mencapai persetujuan bersama untuk berpisah secara baik.

Dalam pada itu, Noh meluahkan kesyukuran kerana diberi peluang untuk hidup bersama Mizz Nina selama 11 tahun dan berterima kasih kepada semua peminat atas tanda sokongan kepada mereka selama ini.

Noh berkata, para peminat usah risau kerana mereka berdua masih berkawan seperti biasa meskipun sudah berpisah.

“Saya dan Nina ada pengumuman penting untuk dibuat. Selepas banyak berfikir dan pertimbangan yang teliti, kami berdua telah bersetuju untuk berpisah. Alhamdulillah, kami bersyukur ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan kami menghabiskan 11 tahun yang indah bersama-sama dengan segala suka duka.
“Jangan risau kami masih berkawan lagi dan mendoakan antara satu sama lain. Kita boleh merancang tapi perancangan Allah lebih hebat.”tulisnya.

Dikesempatan itu, Noh turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang telah menunjukkan kasih sayang kepada mereka selama ini serta mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian selama tempoh Iddah ini.

“Kami menghargai semua orang untuk menghormati privasi kami seperti dalam Surah Al Hujurat ayat 12 iaitu tidak membuat spekulasi atau menyebarkan andaian palsu tentang kami untuk mengelakkan fitnah. Kami memerlukan doa anda.”titipnya.

Terdahulu, Noh dan Nina memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur pada 14 Jun lalu. Difahamkan perceraian itu di bawah kod kes 055 iatu permohonan lafaz talak dengan kebenaran mahkamah.

Pasangan itu berkahwin pada 2 Julai 2011 dan mengambil seorang anak angkat lelaki bernama Musa bagi menyerikan rumah tangga mereka

Sumber: Instagram @mohammadnohbinsalleh