Enggan duduk semeja dengan DAP itu kiasan – Onn Hafiz

Enggan duduk semeja dengan DAP itu kiasan – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kenyataan enggan duduk semeja dengan DAP merupakan kiasan bahawa beliau enggan berada dalam pentadbiran kerajaan negeri yang sama.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama atas kapasiti kerajaan negeri dan Pusat demi kemaslahatan rakyat.

“Kenyataan enggan duduk semeja dengan DAP itu adalah satu bentuk kiasan, bukannya bermaksud secara ‘literal’. Maksudnya adalah BN Johor tidak mahu membentuk kerajaan bersama-sama dengan DAP.

“Kenyataan itu tidak dibuat secara spontan, sebaliknya adalah perkara yang sudah lama saya fikirkan. Kerana pada akhirnya saya percaya bahawa majoriti rakyat negeri ini mahukan perkara tersebut.

“Alhamdulillah kerajaan negeri BN sedia ada diterima baik oleh rakyat berbilang kaum di negeri ini, jadi mengapa kita perlu ubah perkara yang terbukti telah berkesan selama empat tahun lebih ini,” katanya ketika sesi temuramah bersama media Johor di kediaman rasminya, di sini semalam.

Tambah Onn Hafiz, pendirian tegasnya yang menolak untuk bekerjasama dengan DAP adalah disebabkan ideologi politik berbeza yang diperjuangkan parti berkenaan dan BN Johor.

“Cara kita lakukan sesuatu di negeri ini berbeza dengan tempat lain, apatah lagi DAP. Ideologi perjuangan yang berbeza adalah faktor utama. Apa yang berlaku di Putrajaya disebabkan titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu agar kerajaan perpaduan diwujudkan selepas tiada pihak menang majoriti.

“Tetapi perkara itu tidak berlaku di Johor, di sini BN mendapat mandat kukuh daripada rakyat selepas menang 40 daripada 56 kerusi DUN, jadi situasinya berbeza.

“Walaubagaimanapun, saya tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dan bekerjasama atas kapasiti kerajaan negeri dan Pusat, buktinya saya penuhi jemputan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook walaupun menerima jemputan saat akhir,” katanya.

Menurut Onn Hafiz, beliau memilih untuk kekal tenang berdepan pelbagai serangan termasuk kritikan susulan beberapa kenyataan dibuatnya kerana percaya apa yang dilakukan adalah demi kebaikan rakyat Johor.

“Diserang pihak lawan, dikritik orang ramai itu adat bermain politik, apa yang lebih penting adalah bagaimana saya memberikan reaksi balas. Boleh sahaja mahu terus berkasar tetapi itu bukan cara Johor.

“Alhamdulillah saya masih kekal tenang hadapi semuanya, masih boleh buat kerja dan masih dapat tidur yang nyenyak,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top