AKSI pembukaan England menentang Croatia dalam Piala Dunia 2026 di Stadium Dallas bertukar kecoh apabila ratusan penyokong tanpa tiket didakwa berjaya menyusup masuk ke dalam venue, sekali gus mencetuskan persoalan serius terhadap tahap keselamatan kejohanan.
Saksi mendakwa kumpulan berkenaan masuk tanpa pemeriksaan ketat, malah ada yang dilihat hanya berjalan melalui kawasan pintu masuk yang mempunyai ruang terbuka tanpa kawalan rapi.
“Itu memang tidak masuk akal. Ada orang hanya berjalan terus masuk. Pemeriksaan sangat longgar,” kata seorang penyokong England yang memiliki tiket sah.
Menurutnya lagi, terdapat juga individu yang melompat sekatan serta menggunakan ruang kosong di tepi laluan masuk untuk mengelak pemeriksaan tiket.
Kejadian itu berlaku walaupun stadium berkenaan dikawal dengan operasi keselamatan besar-besaran termasuk kehadiran anggota keselamatan bersenjata serta kawalan ketat di sekitar venue.
Bagaimanapun, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam kenyataan awal memaklumkan tiada sebarang bukti kukuh menunjukkan penyokong tanpa tiket benar-benar berjaya memasuki stadium.
“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang indikasi bahawa penyokong memasuki stadium tanpa tiket sah,” kata jurucakap badan induk itu.
Polis tempatan turut menyatakan mereka tidak dimaklumkan mengenai sebarang insiden keselamatan semasa perlawanan berlangsung.
Namun begitu, dakwaan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ribuan penyokong England yang membayar harga tiket tinggi, ada yang mencecah ratusan pound untuk menyaksikan perlawanan itu secara langsung.
Sebelum kejohanan bermula, pihak berkuasa Amerika Syarikat menyifatkan aspek keselamatan Piala Dunia kali ini sebagai antara yang paling kompleks pernah dilaksanakan, dengan lebih 400 agensi penguatkuasaan terlibat di seluruh negara.
Walaupun dilaporkan wujud ‘rangkaian keselamatan besi’ di kawasan stadium termasuk pagar perimeter, saksi mendakwa pemeriksaan di pintu masuk utama tidak dilaksanakan dengan ketat seperti dijangka.



