LATEST
Current Affairs

PKBM mansuh jawatan pengarah teknikal

PKBM mansuh jawatan pengarah teknikal

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil keputusan memansuhkan jawatan pengarah teknikal yang sebelum ini disandang John Beasley sebaliknya memperkenalkan jawatan baharu iaitu jurulatih berprestasi tinggi.Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat khas barisan jawatankuasa eksekutif (Exco) badan induk berkenaan di Kuala Lumpur pada Ahad.Menurutnya, mesyuarat tersebut bersetuju untuk mendapatkan khidmat jurulatih berprestasi tinggi dari luar negara bagi mengemudi skuad trek kebangsaan.”Keputusan ini dicapai secara sebulat suara. EXCO PKBM berpendapat jawatan pengarah teknikal yang kali terakhir dipegang John Beasley akan dimansuhkan.”Mesyuarat Exco juga bersetuju untuk mencari jurulatih berprestasi tinggi dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata, keputusan berkenaan akan dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak berkepentingan lain bagi menyelaras proses pelantikan jurulatih baharu itu.Beliau mengakui bukan mudah untuk mencari pengganti setanding Beasley yang banyak menyumbang kepada pembangunan sukan berbasikal trek negara sepanjang hampir dua dekad bersama Malaysia.”Saya tahu bukan mudah untuk mencari pengganti sehebat John Beasley. PKBM amat terhutang budi kepadanya kerana jasa dan sumbangan beliau terlalu besar.”Bagaimanapun, kita mesti meneruskan perjalanan. Jurulatih berprestasi tinggi yang dilantik mestilah seorang jurulatih ternama dan mampu membawa skuad trek negara ke tahap lebih dinamik serta bertenaga.”Saya percaya PKBM mampu mencari pengganti yang sesuai,” katanya.Beasley menamatkan khidmatnya bersama skuad trek kebangsaan pada 31 Oktober lalu selepas mengemukakan surat peletakan jawatan pada 1 Ogos lalu dengan notis tiga bulan sebelum berhijrah ke Jepun.Jurulatih kelahiran Australia itu mula membimbing skuad trek negara pada 1 Januari 2006 dan sepanjang tempoh perkhidmatannya berjaya membentuk ramai pelumba bertaraf dunia termasuk Datuk Azizulhasni Awang, Rizal Tisin, Josiah Ng, Fatehah Mustapa, Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

More in Current Affairs

View all

Latest news