11,000 peluang pekerjaan melalui Warong Rider – Utusan Digital

MELAKA: Platform perniagaan dan pemasaran digital, Warong Rider mempunyai potensi besar dalam menyediakan kira-kira 11,000 peluang pekerjaan di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, konsep keusahawanan dalam talian itu juga dijangka mampu melahirkan seramai 12,500 usahawan dengan kebolehpasaran mencecah 500,000 pengguna di negara ini.

Beliau berkata, di Melaka, Warong Rider diuruskan oleh Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH) selaku agensi penyelaras bagi peringkat negeri.

“Saya difahamkan konsep Warong Rider ini bukan sekadar menghantar pesanan makanan halal, malah, telah diperluaskan kepada satu sistem penghantaran berpusat termasuk penghantaran ubat-ubatan dari farmasi, dokumen dari pejabat atau barangan dari rumah ke rumah serta penghantaran dari kedai runcit atau pasaraya terus ke lokasi anda.

“Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan peluang pekerjaan khususnya dalam kalangan golongan belia negeri Melaka di bawah Program Warong, dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp.),” katanya dalam sidang akhbar khas di Seri Negeri di sini, hari ini.

Warong Rider bakal menjadi peneraju kepada Melaka Key Result Area (MKRA) yang keempat iaitu pembangunan ekonomi rakyat tempatan.

Sulaiman menambah, sistem penghantaran itu juga meliputi pelbagai insentif seperti perlindungan penjana GIG, penyelenggaraan motosikal, insentif rider cemerlang, bonus bulanan dan tahunan.

Jelasnya, pendaftaran ejen-ejen pula adalah secara percuma tanpa yuran serta bayaran penuh kepada peniaga dengan komisen sehingga 20 peratus.

“Pada sudut lain, tentu sekali kita amat mengharapkan platform seperti ini sedikit sebanyak dapat menjaga penjarakan sosial dan menggalakkan rakyat Melaka kekal selamat di kediaman masing-masing,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE