am@hmetro.com.my
Ipoh: Polis menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan anggotanya yang didakwa mengambil ‘wang kopi’ daripada seorang lelaki di kawasan jalan raya seperti yang tular hari ini
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti anggota yang terbabit selain lokasi sebenar kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) jelas menunjukkan ia milik Polis Kontinjen Perak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
“Bagaimanapun, lokasi kejadian serta identiti anggota polis terbabit masih dalam proses pengesahan. Susulan itu siasatan dalaman sudah dibuka bagi mengenal mengenainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, perkara itu dipandang serius pihaknya dengan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, rapi dan adil dengan tiada kompromi terhadap sebarang salah laku yang boleh menjejaskan integriti pasukan polis.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan yang dilakukan oleh mana-mana anggota mahupun pegawai.
“Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini supaya tampil. Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Berdasarkan video berdurasi 46 saat, kelihatan seorang anggota polis dirakam dari jauh sedang menerima wang daripada seorang lelaki yang ditahan dekat kawasan tepi jalan raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




