harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 119 pemandu disaman manakala 10 kenderaan disita kerana diletakkan di tempat tidak sepatutnya sehingga mengganggu lalu-lintas di sekitar ibu negara, di sini, semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran di Facebook (FB) berkata, Ops Bersepadu Halang itu dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
“Operasi dijalankan di sekitar Jalan P Ramlee, Jalan Alor dan Jalan Bukit Bintang bermula 9 malam.
“Tindakan dilaksanakan ke atas kenderaan yang melakukan kesalahan ingkar isyarat lalu-lintas, menghalang jalan utama, laluan pejalan kaki, laluan orang kelainan upaya (OKU) dan lain-lain kesalahan am,” katanya hari ini.
Menurutnya, pihak DBKL mengeluarkan 95 notis kompaun dan menunda 10 kenderaan manakala pihak JSPT dan JPJ mengeluarkan 24 saman.
DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan operasi berkenaan terutama di lokasi tumpuan bagi mengurangkan kesesakan trafik di ibu negara.
Katanya, tindakan diambil di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




