Kluang: Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor amat penting sebagai elemen pengukuh sistem semak dan imbang demokrasi di negeri itu, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Beliau berkata kemenangan calon PH di pelbagai kawasan diperlukan bagi memastikan landskap politik di Johor tidak hanya dikuasai satu gabungan parti politik, sekali gus mewujudkan pentadbiran yang lebih stabil.
“Kalau satu parti (kuasai pentadbiran), sebuah kerajaan tidak ada alternatif, tidak ada semak dan imbang, tidak ada parti lain yang boleh membantah mereka,” katanya ketika berucap pada majlis makan DAP di sini, malam ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim.
Pada PRN kali ini, PH terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




