12 kanak-kanak sesak nafas selepas terhidu gas beracun

12 kanak-kanak sesak nafas selepas terhidu gas beracun

DUBLIN: Seramai 12 kanak-kanak memerlukan rawatan perubatan selepas terhidu gas beracun akibat pencemaran bahan kimia di sebuah kolam renang di Clayton Hotel Liffey Valley, Dublin, kelmarin.

Kanak-kanak berkenaan bersama seorang dewasa dikejarkan ke hospital selepas kejadian itu.

Penyiar kebangsaan Ireland, RTÉ, melaporkan beberapa kanak-kanak mengalami gangguan pernafasan dan kerengsaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Bomba Dublin Fire Brigade (DFB), Greg O’Dwyer, berkata kejadian itu berpunca daripada pencampuran klorin secara berlebihan dengan bahan kimia lain di bilik loji kolam renang berkenaan.

Beliau berkata ketika kejadian, seramai 24 kanak-kanak sedang mengikuti kelas renang di kolam itu bersama beberapa ibu bapa.

Beliau berkata anggota bomba yang memakai ‘sut perlindungan gas’ memasuki kawasan kejadian sebelum mengasingkan bahan kimia berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Dublin Fire Brigade (DFB) memaklumkan anggota bomba dikerahkan dari beberapa lokasi di seluruh Dublin, termasuk balai bomba Tallaght, Dolphins Barn, Donnybrook dan Dun Laoghaire.

DFB berkata, jentera khas bagi menangani bahan berbahaya dari balai bomba Donnybrook dan Dun Laoghaire turut dihantar ke lokasi kejadian serta mewujudkan zon penyahcemaran.

Menurut kenyataan itu, kejadian berkenaan tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam di kawasan sekitar.- BBC

 

Scroll to Top