Norhazwani maut akibat tekanan pada leher – Polis

Norhazwani maut akibat tekanan pada leher – Polis

am@hmetro.com.my

Seremban: Tekanan pada leher dikenal pasti sebagai punca kematian Norhazwani Ibrahim, 35, kakitangan kerajaan yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah rumah di Nilai, malam Khamis lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, punca kematian itu diperoleh berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan selama lima jam di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

“Bedah siasat dijalankan dari jam 9.40 pagi hingga jam 2.30 petang oleh Dr Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif di HTJ, hari ini.

“Dapatan awal bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah tekanan pada bahagian leher,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Alzafny berkata, pemeriksaan juga menemukan tiga kesan tikaman menggunakan senjata tajam, masing-masing dua di perut dan satu di pipi kanan.

Terdahulu, jenazah Norhazwani dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HTJ pada jam 3 petang sejurus proses dokumentasi selesai.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Kuarters KLIA di Nilai menggunakan van jenazah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk disolatkan sebelum dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan.

Beberapa ahli keluarga, rakan sekerja dan wakil daripada JKDM serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) turut berada di Jabatan Perubatan Forensik HTJ ketika bedah siasat dijalankan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, suami mangsa yang juga suspek menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor dan memaklumkan mengenai kematian isterinya di kediaman kakitangan awam di Nilai.

Suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top