am@hmetro.com.my
Machang: Suspek pembunuhan seorang wanita yang juga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai, Khamis lalu, mempunyai rekod pemenjaraan berkaitan kesalahan dadah.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu antara maklumat yang dapat disahkan mengenai suspek kes berkenaan.
“Suspek baru keluar dari penjara dan mempunyai rekod pemenjaraan berkaitan kesalahan dadah.
“Itu yang boleh kita sahkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sekolah Kebangsaan Jambu Lawar di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, proses bedah siasat ke atas mangsa selesai pagi tadi sebelum jenazah dibawa pulang melalui jalan darat ke Tumpat.
“Jenazah dijangka tiba di Tumpat malam ini,” katanya.
Beliau berkata mangsa meninggalkan dua anak yang masing-masing berusia lima dan enam tahun.
Saifuddin turut menyatakan hasratnya untuk menghadiri pengebumian mangsa.
Media sebelum ini melaporkan, Norhazwani Ibrahim, 35, yang juga pegawai AKPS, dipercayai dibunuh suaminya yang berusia 30-an pada malam Khamis lalu.
Mangsa dipercayai ditikam dengan sebilah pisau.
Suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




