1,285 atlet sahkan penyertaan di APG Solo

1,285 atlet sahkan penyertaan di APG Solo

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,285 atlet dari 11 negara mengesahkan penyertaan mereka ke Sukan Para ASEAN (APG) 2022 dari 30 Julai hingga 6 Ogos di Solo, Indonesia.

Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tuan rumah akan menghantar jumlah kontinjen terbesar dengan 321 atlet.

Manakala, kuasa besar serantau Thailand hadir dengan 312 atlet untuk bersaing dalam 14 jenis sukan pada temasya dwitahunan itu yang kembali dianjurkan buat pertama kali selepas edisi Kuala Lumpur 2017.

Tuan rumah pada temasya tahun depan Kemboja, bersedia dengan 113 atlet manakala Brunei dijangka menghantar kontinjen terkecil iaitu 15 atlet.

Selain Laos, Myanmar, Filipina, Timor Leste dan Vietnam, APSF memberitahu Malaysia dan Singapura yang akan bersaing dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada masa yang sama, turut mengesahkan penyertaan mereka di Solo.

APG Solo melibatkan 14 jenis sukan iaitu memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, bola sepak CP, goalball, judo, powerlifting, bola tampar duduk, renang, ping pong, bola keranjang kerusi roda dan tenis kerusi roda.

Edisi Manila 2019 dibatalkan atas sebab kewangan manakala tuan rumah edisi Hanoi 2021, Vietnam membatalkan temasya itu berikutan pandemik COVID-19, menyebabkan Indonesia menawarkan diri untuk menganjurkan sukan itu tahun ini.

Sementara itu, Presiden APSF Mej Jen Osoth Bhavilai selepas penilaiannya di Solo berpuas hati dengan kesediaan tuan rumah dan berkata atlet tidak sabar untuk beraksi pada temasya sukan para terbesar di rantau ini selepas terlepas temasya itu selama empat tahun. – MalaysiaGazette