13 lagi kluster baharu hari ini

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 13 lagi kluster baharu hari ini.

Lima daripada kluster tersebut membabitkan tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan manakala satu lagi kluster keagamaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan ialah Kluster Jalan Shah Banting di Selangor; Kluster Mengkebang di Kelantan dan Kluster Dinamik di Kedah.

Menurutnya, Kluster Jalan Shah Banting membabitkan daerah Kuala Langat dan kes dalam kluster itu dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 16 April lalu, hasil saringan bersasar pelajar institusi pendidikan di Jalan Sultan Suleiman Shah, Banting.

Katanya, sehingga hari ini, sejumlah 913 individu sudah disaring, dan 58 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

“Kes indeks bagi kluster ini seorang wanita tempatan berusia 25 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 10 April lalu, hasil saringan masuk wad.

“Sehingga hari ini, 21 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Noor Hisham berkata, Kluster Dinamik pula membabitkan pelajar sekolah yang terletak di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Ujarnya, kes indeks bagi kluster itu seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 semalam, hasil saringan individu bergejala dan kes mula bergejala pada 17 April lalu.

Setakat ini, kata beliau, kluster berkenaan sudah menjangkiti seramai 15 orang. – MalaysiaGazette