am@hmetro.com.my
Kluang: Seramai 13 lelaki ditahan disyaki terbabit rusuhan di kedai makan di pusat bandar ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semua tahanan berusia antara 17 hingga 54 tahun, dengan lima daripadanya mempunyai rekod kesalahan jenayah dan narkotik.
Katanya, rusuhan dipercayai berpunca daripada pertengkaran mulut.
“Pada 9.45 malam, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Kluang melaporkan menerima panggilan kecemasan orang awam yang memaklumkan sekumpulan lelaki tempatan merusuh.
“Bertindak atas maklumat, pada 11.15 malam hari sama, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang telah membuat tangkapan terhadap 13 lelaki di tiga lokasi berasingan.
“Hasil saringan ujian air kencing terhadap semua tangkapan didapati negatif dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




