am@hmetro.com.my
Jeli: “Saya terkejut dan langsung tidak mengetahui aktiviti anak yang melombong bijih emas di Jeli sehinggalah dimaklumkan tragedi mengorbankan anak saya itu,” ujar Suhaisham Mohd Salleh, 56.
Suhaisham adalah bapa kepada mangsa, Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32, yang maut selepas tertimbus runtuhan tebing tanah setinggi kira-kira dua meter ketika menjalankan aktiviti melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong, malam tadi.
Kejadian itu turut mengorbankan seorang lagi mangsa, Muhamad Ali Akhbar, 38.
Suhaisham berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu jam 12 tengah malam tadi, selepas penghulu mukim kawasan berkenaan meminta kenalan anak menghubunginya.
“Saya dimaklumkan jenazah anak sudah dibawa keluar dari kawasan lombong sebelum dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jeli.
“Sebaik menerima perkhabaran itu, saya bergegas ke hospital untuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian yang menimpa arwah anak.
“Saya tidak mengetahui anak saya berada di ladang itu (melombong emas) kerana sebelum ini dia melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuk mengambil upah menoreh getah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Jeli, di sini, tadi.
Katanya, kali terakhir dia bertemu anak sulung daripada tiga beradik itu adalah dua hari lalu.
“Saya kesan perubahan ketara pada sikap arwah yang nampak gelisah dan menjadi pemarah berbanding kebiasaannya.
“Saya tidak menyangka itu adalah petanda arwah akan meninggalkan kami sekeluarga. Saya reda apa yang berlaku.
“Jenazah anak saya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Balah selepas urusan bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, adik arwah, Nur Illyanis, 29, berkata, dia sempat menghantar pesanan menerusi WhatsApp kepada abangnya kira-kira jam 10 pagi hari kejadian, namun mesej itu tidak dibalas sehingga ayah memaklumkan mengenai kematian abang.
Katanya, sebelum kejadian, arwah abangnya ada pulang ke rumah ibu kami di Pengkalan Chepa.
“Selepas ibu dan ayah berpisah, kami tinggal berasingan. Pada bulan lalu, arwah ada meminta bantuan untuk membeli beberapa barangan menggunakan kad pengenalannya.
“Selepas itu, kami masih berhubung seperti biasa. Namun tiga hari lalu, arwah ada melihat hantaran saya yang menjual ketupat sejuk beku dan bertanya sama ada ketupat pulut hitam turut dijual atau tidak.
“Arwah kemudian meminta saya mencari ketupat pulut hitam. Saya terkilan kerana tidak sempat menunaikan permintaan arwah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




